Isu kononnya kerajaan menyorokkan Titah Adendum Diraja mengenai tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak sepatutnya diperpanjangkan lagi.
Sehubungan itu, KEADILAN Cabang Gua Musang terkilan dengan sikap Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang masih bermain dengan isu berkenaan.
Menurut satu kenyataan, KEADILAN Gua Musang sama sekali menolak dakwaan Ku Li terhadap Kerajaan dan menegaskan persoalan berkenaan telah pun dijawab tuntas oleh Perdana Menteri dan Menteri Kabinet sebelum ini.
"PM telah jelaskan dokumen itu tidak disorok oleh Kerajaan. Malah PM, Kabinet, dan Lembaga Pengampunan semua tak pernah lihat dokumen itu.
"Di mana dokumen itu? PM telah jelaskan, ia di Istana Negara.
"UMNO Gua Musang perlu faham, isu ini bukan isu wujud atau tidak, sorok ke tidak. Isu ini juga sama ada dokumen itu boleh dilaksana oleh Lembaga Pengampunan atau tidak.
"Jawapannya, tidak," kata kenyataan tersebut.
Tegas kenyataan itu lagi, alasan yang diberikan sebelum ini mengapa ianya tidak dilaksanakan adalah munasabah kerana titah berkenaan tidak dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Oleh itu, jika mahu dikuatkuasakan maka cara paling baik adalah melalui pentafsiran oleh hakim di Mahkamah.
Manakala, berhubung dakwaan Menteri Dalam Negeri tidak membenarkan Najib ditahan di rumah, KEADILAN Gua Musang berkata menteri hanya mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan.
Katanya, Jabatan Penjara laksana Perintah Pembebasan Awal atau pengurangan hukuman berdasarkan keputusan prosiding Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024, yang telah diturunkan tandatangan dan cop mohor Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke 16.
"Jadi, dokumen itu (titah adendum) tidak dibincangkan pun dalam prosiding Lembaga Pengampunan yang terakhir dipengerusikan YDPA-16," katanya.
Malah KEADILAN Cabang Gua Musang mengingatkan fakta bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahimlah yang mengangkat agenda mengurangkan hukuman Najib dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan kerana hal itu tidak tersenarai dalam 10 perkara yang dibincangkan.
"UMNO Gua Musang perlu teliti isu ini dengan cermat untuk sedar bahawa PMX lah yang bawa agenda pengampunan Datuk Seri Najib ke prosiding 9 Disember 2023.
"UMNO Gua Musang sepatutnya ucap berbanyak terima kasih kepada PMX kerana bawa agenda ke-11 hari itu. Sekurang-kurangnya hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib dikurangkan," katanya lagi.
Comments