Oleh: Azuan Ab Rahman
Kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab semua persoalan berhubung Titah Adendum Diraja telah menamatkan tuduhan tidak berasas yang didakwa pembangkang.
Setiausaha Politik Presiden KEADILAN, G Manivanan berkata, isu mengenai titah adendum melibatkan dua pemerintah iaitu Yang di-Pertuan Agong terkini, Sultan Ibrahim dan sebelumnya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta institusi Raja-Raja Melayu, sengaja diputar belit pihak pembangkang untuk merosakkan kredibiliti Anwar.
Justeru katanya, kenyataan Anwar bahawa titah berkenaan diutus kepada Peguam Negara yang dibuat selepas Mahkamah Rayuan memutuskan supaya isu tersebut didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah langkah bijak dari segi politik dan tepat menurut undang-undang.
"Amat penting bagi Perdana Menteri memastikan proses Perlembagaan dipatuhi tanpa campur tangan (eksekutif). Keputusan untuk bersuara mencerminkan tanggungjawab menjaga martabat institusi diraja agar tiada yang mencemarkannya dalam sistem politik negara.
"Serangan Pas dan Perikatan Nasional (PN) serta usaha untuk meremehkan integriti kerajaan memerlukan satu jawapan tegas. Kedua-dua parti mengkritik kerajaan tanpa memahami proses undang-undang dan Perlembagaan.
"Kenyataan Anwar membongkar kelemahan tuduhan Pas dan PN serta mengesahkan bahawa kerajaan mengikuti proses sah. Ini tamparan maut kepada tuduhan tersebut sekali gus menyerlahkan niat mereka untuk mengelirukan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Anwar pada Sabtu menafikan dakwaan kerajaan menyorok titah adendum berkaitan perintah tahanan di rumah kepada bekas PM Najib Razak dalam menghabiskan baki hukuman penjara beliau.
Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, perkara berkaitan titah itu tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan sewaktu beliau menyertainya sebagai pemangku Menteri Wilayah Persekutuan.
Anwar menegaskan dokumen titah adendum dihantar kepada Peguam Negara dan tidak kepadanya, juga bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan. Selepas Yang di-Pertuan Agong bertukar, adendum itu telah diserah pula kepada Istana Negara kerana Baginda mempengerusikan Lembaga Pengampunan.
Justeru beliau menjelaskan, bahawa pendiriannya tidak mengulas isu itu sebelum ini kerana ianya melibatkan institusi diraja.
"Berdasarkan tarikh penting dari 29 Januari (Mesyuarat Lembaga Pengampunan) hingga 31 Januari 2024 (Agong baharu angkat sumpah), Peguam Negara wajar merujuk perkara terbabit kepada ketua negara yang baharu dilantik.
"Ia bertujuan memelihara integriti dan kesucian institusi Diraja sambil mematuhi piawaian tertinggi dalam tadbir urus.
"Pembangkang menunjukkan sikap hipokrit dalam mengkritik tindakan kerajaan tanpa mengambil kira martabat institusi diraja, bahkan prinsip undang-undang," tambah Manivanan yang menyifatkan tindakan pembangkang PN sebagai mencerminkan kekurangan kematangan politik mereka.
Comments