Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam terhadap rayuan bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak untuk mendengar kes titah adendum berhubung tahanan di rumah ke atasnya, biarpun memihak kepada beliau tetapi tidak menyebabkan pihak Kerajaan Madani dianggap kalah.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, biarpun dalam keputusan mahkamah ada pihak yang menang atau sebaliknya, namun Najib bukanlah menang secara total kerana beliau akan berdepan perbicaraan penuh substiantif Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagaimana diputuskan oleh hakim hakim Mahkamah Rayuan.
Namun yang jelas menang semalam, kata Hassan yang juga seorang peguam, adalah institusi kehakiman yang bebas dan boleh membuat sebarang keputusan tanpa terikat kepada pemerintah.
"Jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman. Dengan keputusan 2-1 hakim-hakim Mahkamah Rayuan telah menunjukkan bahawa keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan boleh dicabar dan disemak di Mahkamah. Prinsip pemisahan kuasa berjalan dengan baik di Malaysia
"Dalam hal ini kredit atau pujian wajar diberi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berulang kali menjawab dan menjelaskan di dalam Parlimen atau di luar Parlimen bahawa kerajaan dan beliau khususnya sebagai Perdana Menteri, tidak boleh menggangu perjalanan prosiding mahkamah dan keputusan hakim-hakim," katanya dalam kenyataan.
Menurut Hassan, oleh kerana Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong ke 16 maka PM Anwar Ibrahim bukanlah pihak yang terlibat secara langsung berkenaan keputusan Lembaga Pengampunan itu.
Maka apabila Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengampunan dan beberapa pihak lain dalam kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara berkait isu titah adendum, kata Hassan, beliau memfailkan Semakan Kehakiman di Mahkamah maka ia sudah menjadi kes mahkamah.
Sehubungan itu, ujarnya, tidak timbul dakwaan kononnya PM menyembunyikan titah tersebut sebagaimana tuduhan pembangkang, kerana sebagai pentadbir kerajaan PM tidak boleh menjawab secara sewenang wenangnya hal berkenaan.
"Anwar secara peribadi dan sebagai Perdana Menteri tidak boleh menjawab secara sewenang-wenang sama ada titah adendum itu ada atau tidak ada.
"Pihak yang patut menjawab di Mahkamah bukan PM Anwar tetapi Peguam Negara, atau wakilnya dari Jabatan Peguam Negara.
"Hal ini telah ditimbulkan oleh salah seorang hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan Najib pada 6 Januari
"Seperti yang disebut oleh hakim berkenaan, bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah gagal memfailkan afidavit untuk menyatakan sama ada titah adendum itu wujud atau tidak.
"Kegagalan Jabatan Peguam Negara itu tidak sepatutnya dibebankan ke bahu PM Anwar untuk memikulnya," kata Hassan.
Menurut beliau, sekiranya perkara itu dibebankan kepada PM dan beliau tidak mahu dipersalahkan maka sebaliknya akan wujud pula campur tangan eksekutif ke atas kehakiman.
"Apakah kita mahu PM Anwar campur tangan dalam kerja-kerja profesional peguam-peguam kerajaan yang disebut Fedefal Counsel dan Peguam Negara di Jabatan Peguam Negara? Tentu kita tidak mahu PM Anwar terpaksa lakukan sampai ke peringkat itu.
"Melihat dan mendengar PM Anwar menjawab di Parlimen dalam soal pengampunan Najib Razak dan titah adendum saya sebagai seorang Ahli Parlimen backbencher kerajaan nampak bahawa PM Anwar memahami tugasnya dan tugas Jabatan Peguam Negara dan fungsi institusi kehakiman dalam prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman," katanya lagi.
Maka bagi Hassan, desakan pembangkang bahawa PM perlu mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan kerana konon menyembunyikan titah adendum itu telah terjawab dengan ulasan hakim di Mahkamah Rayuan terhadap Jabatan Peguam Negara.
Isu tersebut tidak perlu dibebankan ke bahu PM kerana bukan beliau atau kabinet yang memberikan tafsiran sama ada titah berkenan sah atau sebaliknya dan boleh dikuat kuasakan ataupun tidak.
Comments