Isu titah adendum diraja yang menjadi kontroversi sejak sidang Dewan Rakyat minggu lalu terus diperkatakan terutama dalam kalangan laskar siber pembangkang.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mencermati hujah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri 10 Disember lalu, jawapan PM dalam hal itu kepada Ahli Parlimen Kota Bharu yang bertanya adalah tepat dan wajar.
Katanya, dengan PM memilih untuk tidak menjawab dan membiarkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai kewujudan titah yang boleh membebaskan bekas PM Najib Razak dari tahanan penjara itu, Datuk Seri Anwar telah melakukan perkara yang betul dari segi pemisahan kuasa, kehakiman dan eksekutif.
"Saya mendengar dengan cermat jawapan Perdana Menteri terhadap soalan YB Kota Bahru itu.
"Anwar perlu menjawab sebagai kedudukannya selaku Perdana Menteri yang menjadi Ketua Eksekutif dan Ketua Jemaah Menteri
"Anwar tidak boleh menjawab sekadar Ahli Parlimen Tambun sahaja. Perdana Menteri kena cermat dan berhati-hati. Persoalan yang berbangkit di Parlimen itu adalah persoalan undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan prinsip pengasingan kuasa.
"Apabila PM Anwar berkata beliau perlu menghormati institusi kehakiman kerana isu titah adendum itu akan diputuskan oleh mahkamah pada 6 Januari 2025, maka penjelasan itu patut kita terima," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Hassan, rakyat terutama pembangkang seharusnya menerima keputusan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi yang menyatakan titah adendum bersifat dengar cakap ataupun hearsay yang tidak diterima pakai oleh pihak mahkamah. Dan itu, kata Hassan merupakan keputusan badan perundangan, bukannya keputusan kerajaan pusat atau keputusan PM Anwar Ibrahim.
Sama juga halnya, kata beliau, dalam keadaan sekarang yang mana apabila Najib Razak membuat rayuan dalam kesnya maka Mahkamah Rayuan perlu membuat keputusan.
"Dengan status kes rayuan itu akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan maka betul dan tepatlah jawapan PM Anwar bahawa sebagai Perdana Menteri, Ketua Jemaah Menteri dan Ketua Eksekutif, beliau tidak boleh mendahului institusi Mahkamah.
"Demikianlah prinsip pengasingan kuasa atau separation of power berfungsi di Malaysia.
"Jadi bersabarlah kita menunggu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Benarkanlah parlimen, eksekutif dan kehakiman menjalankan kerja-kerja mereka mengikut undang-undang Perlembagaan dengan bebas, tanpa takut dan pilih kasih," katanya.
Isu titah adendum dihangatkan semula oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan minggu lalu apabila beliau berhujah di Dewan Rakyat kononnya kerajaan merahsiakan titah berkenaan dan mungkin melakukan salah tahanan terhadap Najib.
Bagaimanapun, Takiyuddin kemudiannya dikecam kerana beliau mahupun partinya tidak pernah membangkitkan isu Najib Razak ketika mereka berkuasa selama 33 bulan (2020 - 2022).
Comments