![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_313e6a71b7a843e9abb01cb6d2d7aeac~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_470,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_313e6a71b7a843e9abb01cb6d2d7aeac~mv2.jpg)
Mahkamah Rayuan merupakan pihak yang terbaik untuk membuat keputusan sama ada titah addendum dari Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak, sama ada wujud atau tidak.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pagi tadi.
"Titah addendum YB Kota Bharu, peguam berpengalaman... tahu ianya (hal itu) akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari ini.
"Apakah munasabah untuk kita beri ulasan sebelum itu? Jawabnya tidak kerana peraturan mesyuarat 23(1)(g) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak membolehkan.
"Maka bagi kita, sebagaimana ditetapkan oleh kenyataan Peguam Negara ialah menghormati dan memberi kepercayaan kepada institusi undang undang (memutuskannya)," kata PM menjawab persoalan berkaitan kewujudan titah addendum dalam Keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Januari 2024.
Bagaimanapun Perdana Menteri menerangkan latar belakang kes pengampunan Najib itu sepanjang beliau terlibat di dalamnya.
Anwar menjelaskan, penglibatan awal beliau adalah sebagai pemangku Menteri Wilayah Persekutuan pada mesyuarat 8 Disember 2023.
Katanya, pada waktu itu tiada agenda pengampunan ke atas Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.
"Untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku (permohonan pengampunan) atas alasan semua banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib (selepas dipenjara) adalah munasabah diberi pertimbangan. Yang di-Pertuan Agong ketika itu memberi perkenan.
"Inilah julung kali permohonan pengampunan dibawa oleh menteri bukan hal ehwal undang undang. Kerana bagi saya, pada prinsipnya kita setuju atau tidak dengan keputusan mahkamah, dengan hak seseorang itu untuk merayu... tetapi kita tidak boleh nafikan hak untuk pendengaran dalam Lembaga Pengampunan," katanya.
Bagaimanapun, jelas PM, pada waktu itu tidak pula dibangkitkan isu addendum yang dimaksudkan.
Kemudiannya, kata beliau, pada mesyuarat berikutnya 29 Januari 2024, PM tidak lagi menghadirkan diri kerana Menteri Wilayah Persekutuan telah pun dilantik.
Comments