Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar ikhtiar dilakukan dengan lebih keras untuk meningkatkan penempatan pekerjaaan graduan bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sebanyak 80 peratus menjelang 2030.
Perdana Menteri berkata usaha tersebut boleh dimainkan oleh pemain industri bioteknologi dan bidang berasaskan bio dalam menambah minat kepada STEM yang merupakan asas kepada pembangunan negara dan kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI).
"Saya percaya syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia khususnya berstatus BioNexus dan syarikat di bawah program Pemecutan Berasaskan-Bio (BBA) memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang latihan dan praktikal serta pengalaman dan pengetahuan industri dalam bidang ini untuk mendukung minat generasi muda terhadap STEM," katanya ketika berucap merasmikan merasmikan Pameran Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri berkata sektor bioteknologi dan berasaskan bio menjadi tonggak menyokong pembangunan dan kemajuan negara ini.
Ini kerana katanya, Kajian Global Bioekonomi oleh Forum Bioekonomi Sedunia pada suku kedua 2023 menyebut, nilai semasa bioekonomi global dianggarkan berjumlah kira-kira AS$4 trilion dan dijangka meningkat kepada AS$30 trilion iaitu satu pertiga daripada nilai ekonomi dunia.
"Sangat rugi jika Malaysia tidak memanfaatkan momentum ini untuk memantapkan lagi keupayaan dalam sector bioteknologi dan berasaskan bio," ujarnya.
Disebabkan perkara itu, jelas Anwar, kerajaan Malaysia MADANI komited dalam memperkasakan sector berasaskan STI melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara dan Dasar Bioteknologi Negara 2.0.
"Sebagai contoh pelaburan asing Utama dalam bioteknologi di Malaysia ada Biocon iaitu sebuah syarikat gergasi bioteknologi dari India yang beroperasi di Malaysia sekitar 2011.
"Biocon telah memanfaatkan sokongan kerajaan melalui Bioeconomy Corporation terutamanya dalam menarik minat bakat tempatan serta membangunkan kemudahan penyelidikan dan pembuatan insulin bersepadu di Johor yang juga merupakan kemudahan pembuatan dan penyelidikan biofarmaseutikal luar negara terbesar di Asia," katanya.
Comments