Malaysia dan Pakistan sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan mengambil sejarah persahabatan sejak lebih enam dekad lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kedua-dua negara bersetuju agar mereka meneruskan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan menekankan kepentingan hubungan dengan negara ASEAN dan memperkukuh Kerjasama dengan China.
"Kami senada untuk terus komited mempertingkatkan kerjasama dalam beberapa bidang dengan mengambil kira sejarah persahabatan sejak 67 tahun dahulu.
"Antara yang disentuh, dibincangkan dan dipersetujui secara bersama adalah kesepakatan untuk meneruskan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, menekankan kepentingan hubungan dengan negara jiran di ASEAN dan memperkukuhkan hubungan dengan China, kata Anwar dalam catatan di Facebooknya malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya Shehbaz Sharif selepas diberikan sambutan rasmi kediaman rasminya di Islamabad, Pakistan.
Anwar tiba di Islamabad malam kelmarin untuk lawatan negara tiga hari ke Pakistan.
Perdana Menteri berkata, pertemuan dua hala itu juga digunakan untuk mengecam tindakan genosid Israel di Gaza dan Lubnan sambil menyatakan bahawa pencerobohan tersebut mengabaikan serta melanggar peraturan antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.
"Usai, kami menyaksikan pelancaran karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu sebelum ke sidang media.
"Saya maklumkan hadirin bahawa pertemuan penuh bermakna hari ini membincangkan pelbagai topik dan isu demi kepentingan bersama termasuk terkait komuniti Islam," kata Anwar.
Pada sidang media, Anwar menyifatkan kunjungannya ke negara Asia Selatan itu sebagai "amat bermakna" secara peribadi.
"Ia lawatan sangat bermakna ke Pakistan. Kami (delegasi Malaysia dan Pakistan) membincangkan pelbagai isu berkaitan kedua-dua negara termasuk zon ekonomi, isu perdagangan dan pasaran, dan lain-lain," kata beliau pada sidang media bersama Shehbaz.
Perdana Menteri juga berharap Pakistan dapat menjadi antara negara yang membekalkan buruh mahir dalam sektor teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan semikonduktor kepada Malaysia.
Katanya, Malaysia juga mahu syarikat penerbangan negara diberikan lebih banyak hak pendaratan di Pakistan bagi memudahkan peningkatan jumlah pelancong, pelajar, perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara.
Terdahulu Anwar dan Shehbaz turut menyaksikan majlis pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan Malaysia dengan Pakistan.
MoU pertama ditandatangani antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) manakala yang dikedua dimeterai antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan mengenai pembangunan sektor digital.
MoU ketiga ditandatangani antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan Kementerian Penerbangan Pakistan.
Kuala Lumpur dan Islamabad menandatangani perjanjian Perkongsian Strategik pada 2019 dan negara Asia Selatan itu telah menjadi destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di Asia Selatan sejak 2016.
Nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada 2023 berjumlah RM6.43 bilion, dengan eksport dari Malaysia (ke Pakistan) berjumlah RM4.39 bilion manakala import Malaysia dari Pakistan ialah RM2.04 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM2.34 bilion memihak kepada Malaysia, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan.
Nilai perdagangan yang direkodkan antara kedua-dua negara untuk tujuh bulan pertama tahun ini ialah RM5.10 bilion.
Kedua-dua negara juga telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008, meliputi perdagangan barangan, pelaburan dan kerjasama teknikal.
*Foto kredit: Albarra Azfar/PMO
コメント