Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ketua ketua sektor awam menangani kerosakan yang ditimbulkan segelintir kakitangan supaya integriti mereka sejajar dengan pengiktirafan yang diberikan melalui pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Perdana Menteri (PM) mengarahkan segelintir golongan yang rasuah dan malas bekerja dikenal pasti supaya mereka tidak merosakkan nama baik perkhidmatan awam.
"Sementara kita beri satu anjakan yang agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara-saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan kawan-kawan supaya dikenal pasti orang-orang yang merosakkan nama baik penjawat awam.
"Ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah. Apakah harus kita beri layanan yang sama pada kumpulan kecil itu? Jawab saya, tidak, kita tidak akan beri layanan sama," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Madani telah mengambil langkah radikal dan berani apabila membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam ketika negara masih belum pulih sepenuhnya dari ketidaktentuan ekonomi serta masalah seperti ketirisan dan rasuah.
"Kalau ikut pertimbangan ekonomi, teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji ditangguh sehingga ekonomi itu lebih stabil, maknanya hutang kurang.
"Tetapi saya lihat dari segi MADANI, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan.
"Bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam kesalahan yang bukan semuanya berpunca daripada mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan dan dari segi kecuaian banyak pihak lain.
"Ada kewajaran kita sebagai bapa dalam keluarga besar, kerajaan harus beri pertimbangan, itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani (naikkan gaji penjawat awam)," katanya.
Beliau berkata keputusan menaikkan gaji penjawat awam juga telah dibincangkan dengan teliti dan mendalam bersama pengurusan tertinggi kerajaan seperti Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Justeru itu kata Anwar, kerajaan membuat keputusan menaikkan gaji penjawat awam bagi memberi keyakinan kepada pekerja sektor itu bahawa pimpinan kerajaan MADANI benar-benar serius mencari jalan untuk membantu.
Anwar berkata, pihaknya yakin cadangan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan oleh Parlimen semasa pembentangan Belanjawan 2025 dijadual pada Oktober ini.
"Ada yang pertikai, maknanya belum muktamadlah tu, mana tahu Parlimen tak luluskan.
"Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah? Kalaupun bantah, ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, majoriti tetap dua pertiga, InshaAllah," katanya.
Pada 1 Mei lepas, sempena sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan, PM mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Anwar berkata di bawah SSPA yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga melebihi RM2,000 sebulan.
Comments