top of page

Tingkat hubungan KL-Beijing, lawatan Xi Jinping bakal disambut meriah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 11
  • 2 min read


Oleh: Helmi Mohd Foad


Malaysia berharap lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini pada Selasa depan dapat berlangsung meriah ketika Beijing berdepan dengan perang tarif dengan Amerika Syarikat (AS).


Lawatan itu juga dilihat akan membuka laluan kepada hubungan dua hala dan perdagangan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara, kata kerajaan Malaysia.


"Minggu ini (depan) kita akan sambut Presiden China dan saya harap sambutannya meriah," kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita di Gombak, Selangor hari ini.


Semalam Anwar dalam mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN berkata China tidak boleh diabaikan, sama seperti negara rakan dagang yang lain seperti AS, Jepun dan Korea.


Terdahulu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika bercakap kepada pemberita selepas Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 di ibu negara berkata Malaysia menjangkakan hubungan antara rakyat dengan rakyat dua negara akan terus dipertingkatkan.


"Saya percaya kita mempunyai banyak peluang yang boleh dibincangkan, diperkukuh dan dibina berasaskan pencapaian lepas dan peluang pada masa akan datang," katanya.


Awal minggu ini, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan mengumumkan bahawa Xi akan mengadakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula pada 15 hingga 17 April ini.


Ia merupakan lawatan kali kedua Xi ke Malaysia di mana ketika lawatan pertamanya pada Oktober 2013, Kuala Lumpur dan Beijing meningkatkan hubungan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.


Malaysia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 sebelum ini turut menjemput China menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) - China yang dilihat bakal membuka potensi besar bagi kerjasama pelbagai hala rentas sektor.


Menyifatkan China sebagai rakan dagangan penting, Fahmi berkata dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, banyak perkara yang boleh dibincangkan, dan negara juga bersedia menyambut ketibaan Presiden China itu.


Walaupun globalisasi berdepan cabaran, terutamanya dengan pengumuman tarif terkini oleh Presiden Donald Trump, Malaysia kekal komited untuk membina hubungan dagangan yang lebih kukuh dan rapat dengan semua negara, jelas Fahmi.


Dalam pada itu, Anwar ketika ditanya mengenai persediaan Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei depan, beliau berkata Malaysia telah berjaya melaksanakan dua mesyuarat iaitu membabitkan menteri perdagangan dan menteri kewangan sepanjang dua minggu ini.


"Mesyuarat dengan menteri perdagangan dan pelaburan memutuskan masalah kita menghadapi tarif dan nampak konsensus kita tidak bersetuju dengan tarif yang dikenakan, sekarang agak reda sekejab tetapi kita ambil pendekatan bersama minta supaya saya hubungi semua ketua negara ASEAN untuk adakan pendekatan bersama.


"Semalam dengan menteri kewangan ASEAN semua hadir dan beri pandangan sama dan ini kemajuan yang baik. Nampak penyusunan baik dan jadi saya ucap terima kasih," ujarnya.


Dalam ucapan penutup pada Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN semalam, Anwar berkata pertubuhan serantau itu perlu mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS dan rakan-rakan dagang yang lain termasuk China bagi melindungi ekonomi domestik.


"Mengapa? Kerana kita perlu lindungi ekonomi domestik. Keutamaan kita ialah memberi perhatian segera untuk memastikan asas kita kekal kukuh.


"Asas kita akan kekal kukuh sekiranya kita terus memastikan keamanan di rantau ini. Dan keamanan bermaksud kita mesra dengan kesemua jiran kita.


"Dan seperti saya pernah sebut dan saya ulangi sekali lagi, China merupakan pihak yang sangat penting.


"Kita tidak boleh mengabaikannya," katanya.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page