
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan TikTok menggantung 23 akaun milik media tempatan secara kekal adalah sesuatu yang agak berat.
Oleh itu katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil pengurusan TikTok pada Isnin untuk bertemu dengan ketua editor syarikat media yang terlibat.
''Ini (penggantungan akuan secara kekal) bagi saya, adalah satu tindakan yang pada pandangan saya mungkin pada mulanya mungkin bersifat salah faham tentang garis panduan, tetapi untuk dikenakan sekatan penggantungan kekal itu saya rasa ianya agak berat.
"Pada mulanya, saya difahamkan akaun berkenaan sudah dikembalikan, namun kemudian hampir kesemua diturunkan sekali lagi.
''Ini (kejadian) mungkin akibat masalah berkaitan kecerdasan buatan (AI) TikTok. Saya sudah minta pihak SKMM memanggil pihak TikTok bagi mengadakan pertemuan dengan ketua editor syarikat media,'' katanya ketika ditemui pemberita pada program Agihan Beras Fidyah di Pusat Komuniti Taman Eko Pantai.
Dalam isu sama, Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menegaskan, pihak TikTok perlu menyelaraskan sistem AI mereka dengan undang-undang yang terdapat dalam negara ini.
"Dia (TikTok) nak kita ikut garis panduan dia, tetapi sepatutnya dia ikut undang-undang kita.
"Dalam beberapa perkara dia biar masalah scam (penipuan) dan judi dalam talian dibiarkan.
"Jadi, sebab TikTok sudah dilesenkan, maka kita boleh ambil beberapa tindakan.
"Cuma ada prosesnya kita akan jemput mereka, kita akan dengar pandangan mereka, kita akan keluarkan beberapa arahan dan kita akan ambil tindakan susulan," katanya lagi.
Comments