Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Hubungan Kerajaan Madani Selangor yang terjalin baik semenjak penubuhannya pada tahun 2023 berhadapan dengan cabaran keduanya, cabaran pertama melibatkan usaha menubuhkan kerajaan diharungi dengan jayanya walaupun wujud kesan luka kerana baru melalui proses untuk saling mengenali.
Kini cabaran kedua hadir apabila disahihkan bahawa wujud perbincangan untuk membawa masuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO iaitu Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam KEADILAN.
KEADILAN parti terbuka
Perbincangan itu disahihkan sendiri oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang menyatakan bahawa KEADILAN tidak pernah memulakan sebarang proses untuk menjemput Tengku Zafrul untuk menyertai KEADILAN.
Namun KEADILAN sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti tersebut, kenyataan tersebut membuktikan bahawa usaha untuk mewujudkan perbincangan membawa masuk Tengku Zafrul ke dalam KEADILAN dimulakan oleh Ahli MKT UMNO itu sendiri.
PMX dalam kenyataannya menerangkan bahawa KEADILAN sentiasa membuka ruang perbincangan dengan sesiapa sahaja namun dalam kes Tengku Zafrul, pihaknya tidak menggalakkan proses itu untuk diteruskan.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Zafrul pula menyatakan wujud perbincangan tersebut namun tidak wujud perbincangan membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK). Beliau juga mengakui bahawa belum membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti, beliau menunjukkan perasaan kecewa terutama melibatkan UMNO Selangor yang masih dibelenggu oleh serangan belakang tabir tanpa asas dan agenda cah keting.
Letak jawatan
Sesungguhnya perbuatan Tengku Zafrul yang memulakan perbincangan untuk menyertai KEADILAN sehingga menggugat hubungan baik di dalam Kerajaan Madani Selangor dianggap tidak wajar. Beliau yang masih merupakan Ahli MKT UMNO tidak seharusnya memulakan perbincangan untuk menukar parti tanpa meletak jawatan terlebih dahulu.
Jika benar dakwaan bahawa beliau kecewa dengan keadaan yang membelenggu UMNO Selangor dan ingin bertukar kepada wadah yang beliau anggap lebih progresif maka mulakanlah proses dengan melepaskan keahlian dan jawatan di dalam UMNO terlebih dahulu.
Perbincangan yang dimulakan oleh Tengku Zafrul ini juga 'tidak kena' kerana tidak dimulakan melalui hierarki yang sepatutnya. Jika benar Tengku Zafrul berminat untuk menyertai KEADILAN diperingkat Negeri Selangor maka kepimpinan KEADILAN Selangor yang diketuai oleh Datuk Seri Amirudin Shari perlu dirujuk terlebih dahulu.
Proses perlu tertib
Setelah mendapat restu yang sebaiknya di peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor maka barulah permohonan tersebut diangkat ke peringkat pusat. Namun kini kepimpinan KEADILAN, Pakatan Harapan dan Kerajaan Madani di Negeri Selangor langsung tidak mempunyai sebarang maklumat.
Secara kesimpulannya tindakan Tengku Zafrul untuk menyertai KEADILAN sepatutnya tidak diteruskan demi memastikan kestabilan Kerajaan Madani Selangor berkekalan menjelang PRU 16. Memang benar seperti kata Tengku Zafrul kebebasan untuk memilih landasan perjuangan adalah hak asasi dan mutlak, namun jika kebebasan itu tidak disertakan dengan proses yang tertib maka ia akan melukakan ramai pihak yang terkait.
______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments