Oleh: Akmal Manaf
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil dengan tiga siri pendekatan sebagai langkah persediaan sekiranya ibu kota dilanda banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, terdapat tiga perancangan melibatkan jangka pendek, sederhana dan panjang.
Katanya DBKL memikul tanggungjawab terhadap pengindahan dan kesejahteraan ibu negara dalam Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
"Sebagai tindakan jangka pendek, DBKL telah menyelaras pembersihan sistem saliran seperti longkang dan juga outlet di kawasan terjejas banjir.
"Ini adalah bagi memastikan kapasiti sistem saliran berada dalam keadaan yang paling optimum.
"Selain itu DBKL juga meneruskan kerja-kerja penyelengaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah, penyelengaraan sungai, parit induk, dan longkang di tepi jalan dari masa ke semasa dan berkala terutama apabila tiba musim tengkujuh," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang bertanya apakah tahap kesediaan Kuala Lumpur yang merupakan pintu masuk utama negara bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan TMM 2026 memandang isu banjir kilat masih belum diselesaikan.
Bagi usaha jangka sederhana pula, Zaliha berkata, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan juga sembilan kolam tertutup bawah tanah.
Katanya, longkang di tepi jalan turut dinaik taraf bagi mengurangkan implikasi akibat banjir kilat.
"Tindakan jangka panjang pula, pada tahun 2022 dan 2023, sebanyak tujuh projek mitigasi banjir telah pun siap, manakala 2024 terdapat 14 projek iaitu dua projek siap, empat dalam pelaksanaan dan lapan lagi di peringkat analisa tender.
"Bagi tahun 2025 sehingga 2027, terdapat empat lagi projek sedang dirancang. Menyedari Kuala Lumpur ini bukan sahaja pintu masuk utama negara, bahkan selaku ibu negara dan pusat ekonomi serantau, maka kesiapsiagaan berdepan dengan banjir khususnya banjir kilat memang diberi keutamaan.
"Keutamaan diberikan sepanjang masa apatah lagi setelah Malaysia mula menyandang Kepengerusian ASEAN 2025," ujarnya lagi.
Comentários