Tiga dokumen dua hala dimeterai susulan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 antara Malaysia dan Brunei diadakan pada Isnin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui satu sidang media berkata, majlis pemeteraian dokumen dua hala itu telah disaksikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan.
Jelasnya, dokumen pertama membabitkan Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa Pertama melibatkan persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei.
Ia ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Dato Seri Setia Haji Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
"Kita telah capai persetujuan persempadanan sebanyak 33 peratus, ada lagi sempadan yang perlu diukur dan dipersetujui bersama iaitu sasarannya pada 2034," katanya dipetik.
Dokumen kedua membabitkan MoU dalam bidang pengangkutan bagi kerjasama penerbangan membabitkan Brunei, Sabah dan Sarawak sekaligus menjadi pemangkin untuk meningkatkan sektor pelancongan di kawasan terbabit.
"Ini kerana Brunei mempunyai connection ke luar negara... Brunei juga ada penerbangan terus ke Sabah dan Sarawak, ini kita selaraskan supaya industri pelancongan kedua-dua negara dapat kita tingkatkan," katanya.
Sementara itu tambahnya, dokumen ketiga pula membabitkan Pertukaran Nota melibatkan akses maritim antara Malaysia dan Brunei dengan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa sementara bagi menyelaras perkara itu.
MoU bagi kerjasama dalam bidang pengangkutan ditandatangani oleh Mohamad serta Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha manakala Pertukaran Nota ditandatangani oleh Mohamad dan Erywan Pehin.
Sementara itu Anwar dalam sidang media sama menyifatkan keakraban secara peribadi yang ditunjukkan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah cukup bermakna, dan akan dijaga sebaiknya bagi memupuk hubungan lebih erat antara kedua negara.
Keakraban hubungan peribadi kedua-dua pemimpin negara Malaysia dan Brunei itu penting untuk dimanfaatkan dalam meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berjiran.
"Ini perkembangan, yang bagi saya sangat peribadi dan sangat bermakna. Ini juga menunjukkan kesediaan Brunei membuka lembaran baharu memberikan suatu fokus meningkatkan persahabatan dua hala," katanya lagi.
Comments