Tiga inisiatif penting pacu malaysia ke arah kecemerlangan ekonomi
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Kementerian Ekonomi melaksanakan tiga inisiatif penting pada Mac 2025 lalu untuk memacu ekonomi negara ke arah yang lebih cemerlang pada dekad akan datang.
Menurut Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, inisiatif itu termasuklah melakukan kerjasama dengan syarikat pembuat semikonduktor antara termaju di dunia, ARM, bagi mengeluarkan cip semikonduktor sepenuhnya buatan Malaysia.
Parlimen turut meluluskan Rang Undang Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) bagi mewujudkan industri CCUS yang bernilai AS$250 bilion menjelang 2050.
Begitu juga Rang Undang Undang Iltizam yang dibuat bertujuan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
"Inisiatif ini menunjukkan fokus Kementerian Ekonomi dalam merancang ekonomi jangka panjang dan mewujudkan peluang ekonomi baharu bernilai tinggi, seperti industri CCUS yang belum wujud di ASEAN, serta mempercepatkan keupayaan negara dalam sektor strategik seperti semikonduktor melalui kerjasama pintar.
"Rang Undang-undang Iltizam pula merupakan langkah bersejarah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
"Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di Kementerian Ekonomi yang bertungkus lumus memastikan perancangan ekonomi kerajaan dapat dilaksanakan mengikut garis masa," kata Rafizi dalam muat naik di Facebook.
Rafizi berharap tiga inisiatif yang dilaksanakan tersebut selain membayangkan fungsi Kementerian Ekonomi akan menjana lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan di Malaysia.
Comments