Perihal mimpi Presiden Pas, Tan Sri Hj Hadi Awang bertemu Nabi Muhammad SAW merupakan perkara peribadi dan tidak seharusnya diceritakan kepada umum berdasarkan pendapat ulama muktabar.
Apatah lagi mimpi berkenaan terkait pertentangan aliran sunni dan syiah di dalam Islam yang boleh mengeruhkan keadaan.
Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Hj Amidi Abdul Manan, cerita berkenaan mimpi Hj Hadi itu lebih terarah kepada latar belakang pertikaian antara beliau dan Sheikh Yusuf Qaradhawi berkaitan perhimpunan ulama Islam di Iran bagi mengendurkan pertembungan antara kelompok Sunni dan Syiah sekitar 2016 lalu.
Sheikh Yusuf pada waktu itu, kata Amidi, pernah terlibat dalam usaha mengurangkan pertentangan antara aliran tersebut. Namun akhirnya, beliau mendapati usaha itu sia-sia kerana tiada faedah bermakna buat umat berikutan sikap keras syiah menyesatkan para sahabat Rasulullah SAW.
"Beliau akhirnya menghindarkan diri dari usaha ini dan menulis berkaitan pendiriannya (dalam buku) yang diberikan tajuk Kalimat Sarihah fi al-taqrib Bayna Madhahib aw al-firaq al-Islamiyah," katanya.
Amidi memetik tulisan Sheikh Qaradhawi pada muka surat 26: "Mustahil untuk kita melaksanakan taqrib (mengendurkan pertembungan) apabila jurang pemisah antara kita berkenaan pendirian terhadap para sahabat radhiallahu anhum begitu besar."
Begitu juga pada muka surat 29 : "Mana mungkin kita boleh bertemu dengan keadaan saya (mewakili sunni) berkata, "Abu Bakar dan Umar, Allah meredhai mereka berdua. Sedangkan kamu (syiah) pula berkata, "Abu Bakar dan Umar, semoga Allah melaknat mereka."
Perbezaan besar berkenaan, kata Amidi, menjadi titik berbenturan antara Hj Hadi dan Qaradhawi yang berakhir dengan Hadi tidak meneruskan kepimpinan dalam Kesatuan Ulama Sedunia yang diasaskan oleh Sheikh Qaradhawi.
"Timbul persoalan, adakah TS Abdul Awang mahu menjustifikasi perbezaan pendirian beliau dengan Sheikh Yusuf Qaradhawi berkaitan taqrib sunni - syiah, menggunakan mimpi ini?," tanyanya.
Jika demikian halnya, kata Amidi, ia akan membawa polemik yang lebih besar tentang siapakah yang benar antara Qaradhawi dan Hadi.
Bagaimanapun, menurut mantan pemimpin ABIM itu, siapa yang lebih benar dalam polemik terbabit hanya boleh ditentukan dengan hujah keilmuan, bukannya cerita mimpi bertemu nabi.
"Namun saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan mengenai niat menceritakan mimpi tersebut. Ada kemungkinan saya tersalah dalam membuat kesimpulan.
"Bagi saya hujah-hujah Sheikh Yusuf Qaradhawi berkaitan taqrib sunni - syiah, sedikit pun tidak tercalar apatah lagi dapat disangkal jika hanya menggunakan hujah mimpi," katanya.
Apatah lagi, hujahnya, menyangkut hal akidah dan menyentuh mengenai para sahabat Rasullullah SAW, aliran syiah tidak boleh diterima oleh sunni sama ada dari segi manhaj atau pun amalan.
Comments