Bukan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Pendidikan berasaskan vokasional (TVET) dan bekerja di sektor industri juga penting untuk menjana ekonomi negara.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia, tengah hari tadi.
"Tak semua pelajar masuk IPTA. Perlu juga TVET dan sekarang tumpuan kita TVET. Kalau ada ketidak padanan pekerjaan seperti disebut, kalau gaji rendah terus runding dengan sektor indutri.
"Kita perlu lahirkan apa keperluan industri. Namun jika pelajar terpaksa tinggalkan universiti untuk bekerja kerana kemiskinan yang itu kerajaan harus mencari jalan untuk tangani.
"Ramai kalangan pelajar tak masuk universiti pendapatan lebih tinggi. Bagi saya tidak semua harus masuk IPTA," katanya dalam menjawab pertanyaan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM negeri yang bertanya apakah cara mengatasi masalah remaja yang selepas SPM tidak masuk ke universiti.
Berkenaan isu yang ditimbulkan agar UiTM kekal menjadi institusi pendidikan buat pelajar Melayu - Bumiputera Anwar berkata program dialog itu membuktikan satu perkara penting kerana sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 lalu terdapat dakwaan UiTM mungkin ditutup sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
"Bagus soalan berkaitan UiTM sebab antara fitnah disebarkan ialah jika Anwar jadi PM UiTM (institusi berasaskan Melayu) akan ditutup.
"Dan ada juga dua, tiga yang bangang itu percaya. Padahal kalau tahu sejarah saya, saya pemimpin mahasiswa antara yang paling keras memperjuangkan penubuhan Univesiti Kebangsaan Malaysia.
"Juga yang menuntut UiTM dinaik taraf adalah kami. Malah dalam Kerajaan Perpaduan sekarang kita tidak meninggalkan aspek ini," katanya.
Selain itu, khabar baik yang diumum dalam sesi dialog tersebut adalah PM yang juga Menteri Kewangan bersetuju meluaskan bantuan e-Wallet melibatkan mahasiswa peringkat umur di atas 21 tahun kerana salah seorang wakil MPP berkata bantuan yang diumumkan sebelum ini hanya untuk umur 18 - 20 tahun sahaja.
"Cuma e-Wallet itu saya putuskan supaya e-Wallet itu boleh dimanfaatkan semua mahasiswa," katanya.
Comments