Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Tindakan pihak pembangkang memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan Israel baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab, tidak wajar serta amat melampau.
Pembangkang jelas memutarbelit jawapan Anwar dalam wawancara CNN dengan niat jahat untuk kepentingan politik semata-mata.
Tegas pertahan rakyat Palestin
Amat tidak masuk akal sebenarnya untuk menuduh Anwar sebagai pro Israel sedangkan hanya beberapa hari sebelum wawancara dengan CNN itu, beliau tegas mengajak negara-negara Islam agar bersatu menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam wawancara itu, yang nyata Anwar berulang kali mempertahankan rakyat Palestin, sekali gus mengecam Israel dan sekutu Baratnya yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis sejak 7 Oktober 2023.
Anwar menegaskan, pendirian moralnya tidak menyokong keganasan dalam apa jua bentuk, termasuk sebarang pembunuhan terhadap mana-mana pemimpin politik dan menyatakan semua pihak harus mengambil pendirian moral tinggi serta konsisten dalam hal terbabit.
Tetapi yang dipetik dan dijadikan isu ialah jawapan Anwar berkaitan kewujudan negara Israel, sedangkan apa yang beliau nyatakan adalah berdasarkan fakta tentang kewujudan negara Israel, bukan mengiktirafnya dari segi diplomatik.
Penjelasan Anwar berhubung wawancara berkenaan tidaklah sukar untuk difahami.
"Kalau orang tanya, apakah wujudnya Israel? Ia wujud. Tapi, Malaysia tidak iktiraf, maknanya, kita tidak hantar pegawai kedutaan, tidak ada hubungan diplomatik. Itu maksudnya.
"Politik apa macam ni? Memperbodoh rakyat, menipu, memfitnah atas nama Islam. Ini yang disebut penunggang-penunggang agama, yang tak reti nak ulas," kata beliau dalam sidang media di Peru menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan pembangkang.
Akui Israel berdasarkan sistem antarabangsa
Anwar menegaskan Malaysia tetap tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu di peringkat antarabangsa adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.
Lagi pun, sebagaimana disebut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perjuangan Anwar bersama rakyat Palestin bukan perkara baharu malah sudah diketahui dunia sejak zaman mudanya lagi.
Oleh itu katanya, adalah tidak masuk akal untuk menuduh seorang pemimpin negara Islam seperti Anwar mengambil pendirian menyokong Israel.
"Takkanlah (mereka) tak boleh buat penilaian langsung bab itu. (Mereka buat ini) hanya untuk dapat keuntungan politik, hendak tempek wajah ‘hodoh’ – Anwar Ibrahim equal to Israel…
"Maka (mereka hendak mengajak) mai lah orang Melayu Islam jangan sokong (Anwar). (Tujuan mereka) macam itu. (Perbuatan ini) hanya untuk memancing sokongan, itu yang saya kesalkan," katanya lagi.
Apa yang jelas, pembangkang sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan keuntungan politik tanpa memikirkan dosa dan pahala daripada perbuatan mereka itu.
Untuk itu, tiada pilihan melainkan rakyat Malaysia menolak sepenuhnya gaya politik pembodohan ini kerana mereka tidak memikirkan fakta dan kebenaran, sebaliknya hanya mahu menang pilihanraya dengan apa cara sekali pun.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
コメント