
Oleh: Akmal Manaf
Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak mampu membuat bayaran balik disaran hadir ke pejabat PTPTN terdekat bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapa Sakmud berkata, PTPTN pada waktu ini menggunakan kaedah yang amat praktikal dan prihatin terhadap konsep pembayaran balik pinjaman.
''Ketidakmampuan (graduan) yang baru habis belajar di universiti, suri rumah yang belum ada pekerjaan.. PTPTN memang menggunakan langkah yang amat praktikal dan prihatin.
''Kita galakkan semua peminjam yang tidak mampu, datanglah ke pejabat PTPTN berdekatan dan bincang dari hati ke hati.
''Kita boleh menstrukturkan pembayaran balik tersebut,'' katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin tahu apakah langkah dan strategi kementerian untuk mengutip semula pinjaman PTPTN yang tertunggak.
Roderick turut mengajukan soalan adakah kementerian bercadang melanjutkan tempoh penangguhan pembayaran bagi peminjam yang masih menganggur, berpendapatan rendah atau graduan yang menjadi suri rumah.
Menyimpulkan kepada semua persoalan yang ditanya, Mustapa memaklumkan pihaknya sentiasa terbuka dalam memastikan kaedah bayaran balik pinjaman, akan dibuat sebaik-baiknya demi memudahkan semua pihak.
Comments