Kerajaan Perpaduan merupakan satu satunya Kerajaan Persekutuan sepanjang sejarah Malaysia yang komited untuk memenuhi segala syarat syarat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek, pelbagai jawatankuasa telah ditubuhkan bagi memenuhi tuntutan penduduk wilayah Malaysia Timur sebagaimana ditimbulkan.
Menteri Pendidikan itu juga berkata, bagi bidang pendidikan beliau sendiri diberi tanggungjawab mempengerusikan jawatankuasa khas memantapkan institusi pendidikan di Sabah berteraskan perjanjian tersebut.
"Tidak ada kerajaan yang begitu komited, tidak ada kerajaan yang sehingga kini memberikan komitmen kepada MA63 melainkan Kerajaan Perpaduan," tegas Fadhlina menjawab beberapa isu yang ditimbulkan oleh perwakilan dalam Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah bertempat di Sabah International Convention Centre hari ini.
Selain itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada KEADILAN Sabah kerana telah berjaya menghimpunkan tidak kurang 10,000 hadirin dalam konvensyen tersebut.
"Saya di atas pentas melihat lautan manusia yang mana saya harus tabik kerana (KEADILAN Sabah) berjaya menghimpunkan lautan manusia pada hari ini untuk bersama sama dalam konvensyen," katanya.
Comentários