![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_5660da58080a4bf7bb035da151437dc1~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_407,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_5660da58080a4bf7bb035da151437dc1~mv2.jpg)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang berhubung pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada sebuah syarikat yang diketuai oleh suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pemberian kontrak projek tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui oleh Hannah.
"Kita melihat dari segi undang-undang apabila seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi yang mendapat (kontrak) itu tiada kena mengena dengan tugas dan tanggungjawab (pihak yang dibangkitkan)… itu bukan kesalahan.
"Contohnya seperti yang dilaporkan media mengenai suami Hannah Yeoh yang mendapat kontrak daripada Selangor dan menteri itu tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri.
"… tetapi ia berlainan sekiranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya dipetik pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Minggu lepas, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diketuai oleh suami Hannah iaitu Ramachandran Muniandy menjadi satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.
DRT merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata, pihaknya masih belum menerima notis pengisytiharan harta oleh dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, pihaknya sedang melaksanakan perbincangan dengan peguam Mohkzani dan Mirzan bagi mendapatkan tempoh masa untuk melaksanakan notis terbabit.
"Tak silap saya belum terima (pengisytiharan harta) tetapi baru-baru ini ada perbincangan antara pegawai penyiasatan dan peguam untuk memperincikan tempoh masa berkenaan," katanya.
Azam sebelum ini mendedahkan bahawa Dr Mahathir antara individu berprofil tinggi yang disiasat SPRM berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anak beliau, Mirzan dan Mohkzani diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Comments