![PM Anwar melawat ke Batu Caves bagi melihat persiapan penganut Hindu menyambut perayaan Thaipusam](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_f806557585ff403fa6c3ff8eb4d43247~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_f806557585ff403fa6c3ff8eb4d43247~mv2.jpg)
Kabinet memutuskan bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi dan ia akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
"Saya berpendapat (garis panduan) tidak perlu kerana orang Islam tahu garis panduan dia. Macam saya ke acara ini (tinjauan Thaipusam) saya bukan masuk upacara agama, Gobind Singh (Menteri Digital) dia sering ke masjid di kawasan dia tapi bukan upacara agama. Jadi kita biasa.
"Jadi jangan persulitkan, jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat. Saya nak tegaskan keputusan muktamad Jemaah Menteri pagi tadi," katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi semasa menjelang perayaan Thaipusam di kuil Batu Caves pada Selasa ini.
Sebelum ini media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan satu garis panduan yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Perdana Menteri menjelaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, kepentingan kaum dan agama lain di negara ini juga harus dijaga bagi memelihara keamanan.
"Apa yang perlu orang Islam jaga akidah dia...ada peraturannya. Ada yang tak boleh dilanggar tetapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum pelbagai agama itu tidak ada masalah selama ini.
"Kalau kita nak pastikan negeri ini aman kita kena jaga semua pihak, maknanya hari ini saya hadir ke sini ini upacara masyarakat India, saya bukan masuk kepada upacara agama Hindu," katanya dipetik The Malaysia Press.
Dalam lawatan selepas solat Jumaat petang tadi, PM diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Seri R Ramanan, ADUN Sentosa Dr Gunaraj George dan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan yang lain.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mohktar dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama Kabinet bersetuju bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam ketika menghadiri majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
Bagaimanapun kata mereka nasihat itu itu tidak melibatkan soal dasar negara yang memerlukan kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.
"Jakim boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah umat Islam berhubung perkara ini namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
"Jemaah Menteri mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan dialog harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
Segala perkara berkait dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama.
Comments