Kerajaan tidak pernah memutuskan atau mengkaji untuk menghapuskan subsidi ke atas minyak masak paket yang banyak digunakan oleh golongan B40.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, beliau sebelum ini ditanya soalan umum mengenai ketirisan subsidi minyak masak dalam proses pengedaran.
Namun jawapan beliau yang disiarkan media amat mengelirukan dan tidak dilihat di dalam konteks yang betul.
"Bila soalan ditanyakan, kerajaan bagi gambaran... memang fokus kita adalah untuk mengurangkan ketirisan dan memastikan dia (minyak masak) betul betul sampai kepada orang ramai.
"Contoh program minyak masak paket memang kita semua tahu ada ketirisan, tidak sampai kepada yang patut menerima.
"(Namun) setakat ini tidak ada sebarang perkara mengenai rancangan baru (berkenaan subsidi) minyak berpaket.
"Cuma saya mohon kepada pihak media, tengoklah soalan (yang ditanya dan dijawab) secara menyeluruh," katanya dalam satu klip video memetik ucapan beliau dalam satu program dialog.
Rafizi kesal sejak beberapa hari kebelakangan ini timbul isu seolah olah subsidi ke atas minyak masak paket akan ditarik balik, sedangkan katanya, hal seperti itu tidak pernah dibawa ke Kabinet.
"Saya ditanya soalan bersifat umum, apa kita nak buat pasal ketirisan minyak paket ini? Jadi jawapan saya, setiap program itu kalau ada ketirisan memang ada penilaian, perbincangan. Itu yang disebut.
"Tetapi dilaporkan, kerajaan bercadang untuk menghapuskan susbidi minyak masak paket.
"Ini benda yang amat berbeza," katanya lagi.
Justeru beliau mengharapkan media lebih beretika dalam membuat laporan.
Katanya, jika keadaan seperti itu dibiarkan maka kerajaan atau para pegawainya tidak akan memberi apa apa maklumat kepada media kerana takut akan disalah lapor.
Comments