![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_0a90b872733e479983f1305612eaf074~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_414,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_0a90b872733e479983f1305612eaf074~mv2.jpg)
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) daripada gerakan mengungkap reformasi rakyat marhaen telah pun menjadi parti utama peneraju pemerintahan Malaysia dalam tempoh dua dekad.
Sehubungan itu, bagi Ketua Penerangan KEADILAN Johor, R Yuneswaran, menjadi keperluan kepada anggota parti untuk kukuh memegang prinsip perjuangan pelbagai kaum ke arah tadbir urus baik sebagaimana digariskan oleh Presiden KEADILAN sejak hari pertama perjuangan reformasi dilaungkan.
Hal itu, kata Yuneswaran, diutarakan dalam perjumpaan KEADILAN Johor bersama Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh baru baru ini.
"KEADILAN adalah parti yang berteraskan keadilan sosial, perjuangan rakyat, dan memartabatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang.
"Sebagai satu-satunya parti pelbagai kaum terbesar di Malaysia, keunikan dan kekuatan ini harus terus dipelihara.
"Penting untuk kita sentiasa menggilap idealisme perjuangan yang menjadi teras parti ini. Kita tidak boleh alpa atau mengambil mudah matlamat dan asas perjuangan parti.
"Semua pihak dari pimpinan pusat, negeri, hingga ke akar umbi harus memainkan peranan masing-masing dengan mengatur gerak kerja yang efektif untuk mendekati masyarakat. Dalam masa yang sama, pimpinan atasan perlu menjadi teladan yang baik dengan mentadbir negara secara cekap dan berintegriti demi masa depan yang lebih cemerlang," katanya dalam kenyataan.
![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_98663b7cf4b9496da0d1abfc7c72227a~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_411,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_98663b7cf4b9496da0d1abfc7c72227a~mv2.jpg)
Untuk itu, kata Ahli Parlimen Segamat tersebut, kerjasama antara semua peringkat kepimpinan amat diperlukan dalam mengukuhkan parti.
Ranting, cabang, Majlis Pimpinan Negeri, dan Majlis Pimpinan Pusat, ujarnya, perlu menggembeling tenaga demi menjalin hubungan yang lebih erat.
"Dalam usaha ini, adalah penting untuk memastikan tiada mana-mana pihak mengutamakan agenda peribadi melebihi agenda parti. Agenda parti Keadilan harus menjadi tonggak utama yang memacu perjuangan kita ke hadapan.
"Saya ingin menyeru semua rakan seperjuangan agar terus fokus kepada masa depan parti. Jangan sesekali berputus asa atau terpesong daripada matlamat asal perjuangan kita. Tiada individu lebih besar daripada parti ini, dan tiada agenda lebih penting daripada agenda parti Keadilan," katanya lagi.
Tegas beliau, sebagai anggota KEADILAN wajar ahli merasakan diri mereka berada dalam satu keluarga besar. Tidak ada tempat untuk fraksi atau kelompok yang membawa kepentingan peribadi.
Perpaduan dan kesatuan, katanya, adalah kunci kepada masa depan yang lebih gemilang.
Comments