Oleh: Fiza Halim
Pengumuman kerangka atau blueprint The Greater Kedah yang dilakukan oleh Menteri Besar (MB) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor minggu lalu perlu dibuat secara realistik perancangannya.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah, Dr Taufiq Johari, pelan perancangan ekonomi di bawah kerajaan Pas itu sepatutnya menumpukan kepada bidang yang berupaya dilaksanakan oleh negeri sahaja.
Hal itu kerana, kata beliau, banyak projek mega yang diumum sebelum ini tetapi gagal direalisasikan dan menunjukkan terdapatnya kekurangan di pihak Kerajaan Negeri dalam hal perencanaan pembangunan.
"Dia (Sanusi) boleh tetapkanlah (sasaran) 2050, atau berapa (tahun sasaran) untuk menuju ke arah itu (greater Kedah). Namun Sanusi perlu menyatakan apakah pencapaian-pencapaian telah dicapai sehingga (Kedah) boleh menuju ke arah itu.
"Kedah kaya dengan (kawasan) pelancongan tetapi tengok sekarang apa yang berlaku di Jerai Geopark. Sampai sekarang saya dengar pengurusan Jerai Geopark masih dalam masalah. Maksudnya tak ada satu pelan untuk membangunkan pelancongan di negeri Kedah.
"Ramai juga rakyat pergi bercuti di Thailand berbanding di Kedah sendiri. Itu yang kita risau.
"Adakah kita menuju The Greater Kedah atau kita mengalami satu zaman yang suram untuk rakyat Kedah?" soal Dr Taufiq.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, MB Sanusi tidak boleh menyandarkan kemajuan di negeri itu berdasarkan pelaburan yang mencurah masuk di Kulim Hi-Tech Park sebagai kayu ukur prestasi Kerajaan Negeri.
Katanya, perlu dibezakan pelaburan yang dibawa masuk oleh Kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan Pas Kedah.
"Dia perlu bezakan yang mana pelaburan dibawa secara mutlak oleh Kerajaaan Negeri atau pelaburan yang dibantu oleh Kerajaan Persekutuan.
"Bila kita bercakap mengenai The Greater Kedah, kita jangan membawa rakyat bersama-sama terbuai mimpi retorik tetapi kita nak pelan yang lebih startegik, lebih realistik dan boleh dinilai oleh rakyat secara kelesuruhannya," kata Taufiq lagi.
Beliau mengingatkan perancangan ekonomi masa hadapan Kedah seharusnya berdasarkan kemampuan negeri, terutama yang melibatkan pendanaan dan teknologi.
Untuk rekod, MB Sanusi mengumumkan blueprint The Greater Kedah pada 27 Okt lalu.
Gagasan itu melibatkan penjenamaan kepada usaha-usaha yang sedang berjalan sama ada Pelan Pembangunan Kedah 2035, pelan industri, kerja-kerja kebajikan dan sebagainya yang dihimpun ke dalam satu gagasan yang disasarkan akan dicapai dalam tempoh 100 tahun tetapi dipendekkan hingga 2050.
Comments