Nasihat yang diberikan oleh mana-mana anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN 2025 adalah bersifat panduan dan tidak mengikat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata keputusan berkaitan ASEAN hanya akan diputuskan oleh anggota pertubuhan serantau itu tanpa melibatkan pihak luar.
Justeru itu, keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tidak mempunyai sebarang masalah.
"Tak ada masalah dari segi keteraturan bagi Pengerusi ASEAN melantik siapa-siapa menjadi penasihat kepada beliau (perdana menteri), bukan kepada ASEAN, kerana untuk menjadi Pengerusi ASEAN adalah sekali setiap 10 tahun. Jadi peluang yang cukup penting," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Semalam Anwar mengumumkan pelantikan Thaksin yang dicadangkan oleh Malaysia dan dipersetujui oleh Thailand pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Fahmi berkata peluang menjadi Pengerusi ASEAN perlu digunakan sepenuhnya termasuk mengambil kira pandangan dan pengalaman pemimpin-pemimpin yang berpengaruh.
"Hasil daripada perbincangan, mereka itu akan menjadi nasihat dan panduan untuk Perdana Menteri. Akhirnya, apa pun keputusan bagi ASEAN akan diputuskan oleh ASEAN itu sendiri bukan oleh mana-mana pihak yang lain," katanya.
Beliau menjelaskan, Kabinet turut tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan tersebut setelah perdana menteri mengemukakan nama-nama tokoh terkemuka termasuk Thaksin.
"Kenyataan rasmi berhubung pelantikan dan peranan penasihat kepada Kepengerusian ASEAN 2025 akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau Kementerian Luar," katanya.
"Mereka (tokoh) bukan orang biasa, (tapi) yang sangat berpengalaman dan faham tentang perkembangan. Jadi saya nampak ini langkah yang betul, dan sejujurnya dalam banyak perkara Perdana Menteri sering mendapatkan pandangan, nasihat terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Saya berpendapat beliau (Perdana Menteri) berhasrat melakukan perkara yang betul bagi ASEAN dan dia mahu mendapatkan input sebanyak mungkin," katanya.
Comments