top of page

Thaksin penasihat: Kritikan pemimpin Pas sabotaj pembangunan tiga negeri PN?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 22, 2024
  • 3 min read


Kritikan melulu pemimpin Pas berhubung isu pelantikan bekas Perdana Menteri (PM) Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai Penasihat Khas Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan menyukarkan pembangunan di tiga negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang bersempadan dengan Thailand.


Menurut aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz, kritikan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Ahli Parlimen Pasir, Mas Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi amat tidak sesuai dengan polisi diplomatik Malaysia yang tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.


Tegas Syam Ghaz, langkah Anwar melantik Takhsin lebih bertujuan memperkukuhkan hubungan diplomatik serantau dan memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan Malaysia - Thailand.


"Hashim Jasin, Fadhli Shaari dan Afnan Hamimi memperlekehkan tindakan ini (melantik Thaksin sebagai penasihat) tanpa memahami konteks geopolitik ASEAN.


"Kritikan mereka menyerlahkan kelemahan dalam memahami strategi besar politik dan ekonomi serantau," kata Hisyamuddin dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, keputusan PM Anwar tentu sekali mengambil kira keadaan politik Thailand yang sering bergolak dan begitu banyaknya projek besar antara kedua negara yang dirancang di Kelantan, Perlis dan Kedah bakal tergugat sekiranya hubungan baik tidak dibina.

Mohd Hisyamuddin Ghazali
Mohd Hisyamuddin Ghazali

"Dalam mesyuarat penting antara Anwar dan Srettha (bekas PM Thailand) di Golok dan Pasir Mas pada 3 Ogos 2024, pelbagai isu kritikal termasuk pembangunan sempadan dibincangkan.


"(Maka) pelantikan Thaksin adalah langkah strategik untuk memastikan kerajaan Paetongtarn (PM Thailand semasa) menyambung agenda pembangunan ini dengan tumpuan kepada kesinambungan projek infrastruktur dan ekonomi sempadan," katanya menjelaskan bahawa PM Thailand pada waktu ini adalah anak kepada Thaksin.


Tegas Syam Ghaz, kerjasama Malaysia-Thailand melibatkan projek infrastruktur penting bakal merubah landskap ekonomi negeri pembangkang.


Antaranya, projek Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dijadualkan bermula pada 2025 dan akan menghidupkan kembali ekonomi pekan koboi Rantau Panjang.


Pembangunan tersebut, kata Hisyamuddin, berpotensi meningkatkan aktiviti perdagangan dan sektor pelancongan. Tahun 2023 lebih 4.56 juta rakyat Malaysia masuk ke Thailand dan 1.3 juta pelancong Thailand masuk ke Malaysia terutamanya di Negeri Perlis, Kedah dan Kelantan.


Selain itu, kerjasama turut dijangka meningkatkan nilai perdagangan Malaysia-Thailand kepada AS$30 bilion (RM133.59 bilion) menjelang 2027 yang memberikan manfaat besar kepada tiga negeri bersempadan. Termasuk, katanya, projek yang menguntungkan negeri tonggak PN iaitu Kelantan melalui kerjasama pembinaan tebatan banjir.


"Setiap tahun, lebih 100,000 penduduk di kawasan Pasir Mas dan Tumpat terjejas akibat banjir, dengan kerugian harta benda mencecah puluhan juta ringgit.


"Kerjasama Malaysia-Thailand melalui projek tebatan banjir bernilai lebih RM4 bilion bertujuan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.


"Projek ini, yang dibincangkan semasa mesyuarat antara Anwar dan Srettha, menuntut kesinambungan daripada kerajaan baharu Paetongtarn bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya," ujar beliau.


Hubungan baik kedua dua negara, jelas Syam Ghaz, juga telah menyelesaikan banyak masalah di sempatan. Seperti penutupan 172 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok yang menjadi langkah penting dalam menangani penyeludupan haram serta jenayah lintas sempadan.


"Rampasan 1 tan dadah jenis pil kuda bernilai RM65.54 juta, dadah jenis syabu 521kg bernilai RM17.2 juta, dan penahanan 438 pendatang tanpa izin (PATI) juga membuktikan kesungguhan kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam menjaga keselamatan rakyat Malaysia," katanya.


Syam Ghaz berharap sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, Hashim Jasin, Fadhli Shaari dan Afnan Hamimi menyokong usaha yang membawa manfaat besar kepada negeri-negeri yang mereka wakili.


"Sebaliknya kritikan tanpa asas hanya melemahkan peluang untuk memperbaiki taraf hidup rakyat di Kelantan, Kedah dan Perlis yang terus berada di bawah paras kemajuan nasional," katanya lagi.


Sehubungan itu, beliau berharap rakyat di negeri-negeri tersebut wajar menilai semula kepimpinan Pas yang sering mengutamakan politik berbanding kesejahteraan hidup mereka.

Commenti


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page