Oleh: Andre Lai Chen Heng
ULASAN: Malaysia terkenal dengan kepelbagaian. Negara kita diberkati dengan masyarakat majmuk yang mampu hidup dengan harmoni dan penuh bertolak ansur. Begitu juga dengan cuti perayaan, mana-mana kemeriahan sambutan turut dirasai oleh semua.
Tanggal 5 Februari ini merupakan hari perayaan yang istimewa, 2 perayaan besar jatuh pada hari yang sama, iaitu Thaipusam dan Chap Goh Meh (Hari ke 15 Tahun Baru Cina)
Kemeriahan sambutan Thaipusam di Malaysia terkenal di seluruh dunia. Bukan sahaja rakyat Hindu yang merasa kemeriahan, bahkan ia juga mempamerkan perpaduan dan semangat muhibbah yang menjadi tanda kemegahan sebenar Malaysia.
Berbilang kaum terlibat perayaan
Dua hari sebelum perayaan, saya turut berada di Sentul untuk bersama saudara Maanoj, Setiausaha Pengelola KEADILAN Wangsa Maju serta rakan-rakan beragama Hindu KEADILAN yang terlibat dalam membuka ‘thaneer phantal’ mengagihkan air kepada mereka yang menunaikan ibadah kavadi.
Terdapat ramai penganut Hindu datang dari seluruh pelusuk dunia memilih untuk ke Batu Caves, dan bukannya India untuk sembahyang Thaipusam.
Untuk Chap Goh Meh pula, saya sering mendapat banyak jemputan untuk ke aktiviti sambutan pada waktu malam. Hari besar tahun ini, saya memilih untuk berada di Kampung Lee Kong Chian dan Tokong Tien Tiek bersama masyarakat setempat.
Nama Chap Goh Meh berasal daripada loghat Hokkien, di mana ‘Chap Goh’ bermaksud Hari ke 15 dan ‘Meh’ bermaksud malam. Chap Goh Meh di Malaysia memang disambut pada malam terakhir Tahun Baru Cina sebagai hari kebesaran yang dinanti-nantikan oleh komuniti Cina di Asia Tenggara. Ia juga dikenali sebagai Hari Kekasih versi Cina dan Hari Tanglung.
Sambutan meriah
Keadaan amat meriah dengan sambutan mega setelah 2 tahun Malaysia berkurung dalam pandemik Covid 19. Walaupun kedua-dua perayaan ini berasal dari India dan China, namun perayaan di negara asal tidak semeriah seperti di Malaysia. Penerimaan pelbagai kaum terhadap perayaan seperti Thaipusam dan Chap Goh Meh, menyerlah keunikan masyarakat majmuk di Malaysia.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam dan Chap Goh Meh! இனிய தைப்பூசம் வாழ்த்துக்கள் & 元宵节快乐
Semoga hari kebesaran yang mulia ini dapat disambut dengan penuh berkat dan negara terus maju di bawah Kerajaan Malaysia Madani.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Comments