Kritikan bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Azmin Ali terhadap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menarik minat syarikat gergasi permotoran, Tesla membuka kilang di Malaysia kerana ketiadaan bahan mentah nikel untuk membuat bateri kenderaan elektrik (EV) adalah pendapat mengarut.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Chua Wei Kiat, ternyata Azmin amat cetek pemahaman ekonominya kerana tidak memahami kompleksiti dan dinamik pasaran global serta perubahan persekitaran persaingan ekonomi.
Kata Wei Kiat, keputusan Tesla untuk tidak melabur di Asia Tenggara tiada kaitan dengan bahan mentah kerana Indonesia mempunyai rizab nikel amat besar tetap juga tidak berjaya menarik minat gergasi permotoran itu membuka kilang di sana.
"Beliau (Azmin) mengabaikan fakta penting bahawa meskipun Indonesia mempunyai sumber nikel yang melimpah ruah, Tesla tidak memilih untuk membuka kilang.
"Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan Tesla untuk tidak membuka kilang di Asia Tenggara bukanlah disebabkan persekitaran perniagaan di Malaysia atau Indonesia, tetapi adalah sebahagian daripada penyesuaian strategi dalam menghadapi persaingan sengit pasaran global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya Ahli Dewan Negeri Rawang itu mengingatkan Azmin bahawa meskipun Tesla tidak membuka kilang pemasangan kereta, syarikat itu tetap meneruskan pelaburannya di Malaysia.
Katanya, Tesla kekal membuka ibu pejabat dan pusat perkhidmatan serta pengalaman di Malaysia.
"Hal ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap pasaran automotif Malaysia serta niat mereka untuk menjadikan negara ini sebagai hab automotif bagi rantau Asia Tenggara.
"Menyalahkan Perdana Menteri atas keputusan perniagaan Tesla hanya menunjukkan Azmin cuba menidak kejayaan pentadbiran Anwar dalam memacu perkembangan ekonomi dan menarik pelaburan asing," ujarnya.
Dalam pada itu, Wei Kiat mengungkit semula situasi kemasukan pelaburan asing ke Malaysia pada ketika Azmin menerajui MITI yang katanya tidaklah sebaik era PM Anwar yang dikritik Azmin kini.
"Semasa Azmin memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi (kerajaan Pakatan Harapan) dan Menteri MITI (kerajaan PN), ekonomi negara memasuki lubuk yang sukar, dan beliau tidak menunjukkan sebarang iltizam ekonomi yang berkesan.
"Sebaliknya, dasar kerajaan Anwar dalam menarik pelaburan telah membuahkan hasil dengan semakin banyak syarikat antarabangsa memilih melabur dan membuka kilang di Malaysia.
"Pelabur global mempunyai keyakinan tinggi terhadap prospek ekonomi Malaysia, namun PN nampaknya memilih untuk mengabaikan fakta, sebaliknya mengkritik ekonomi Malaysia tanpa asas," katanya.
Wei Kiat mengingatkan pemimpin PN bahawa pertumbuhan ekonomi negara kini berada dalam keadaan kukuh, dengan KDNK suku pertama mencatatkan peningkatan sebanyak 5.8%, dan dijangka akan meningkat kepada 6.0% pada suku kedua.
Katanya, dalam keadaan ekonomi global yang penuh dengan ketidaktentuan, prestasi seperti itu membuktikan kejayaan kerajaan Anwar menguruskan ekonomi dan membuktikan ekonomi negara berada di landasan yang betul
"Ke hadapan pentadbiran Anwar akan terus memperkukuhkan dan melaksanakan reformasi ekonomi untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai tumpuan pelaburan global.
"Rom tidak dibina dalam sehari, begitu juga dengan pembangunan ekonomi yang tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Kita yakin prospek ekonomi Malaysia akan menjadi lebih cerah, dan semua rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya," kata beliau lagi.
Commenti