top of page

Terus sokong agenda reformasi laksana pembaharuan institusi - Dr Wan Azizah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 23
  • 2 min read


Perlantikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 bukan bermakna perjuangan reformasi telah berjaya sepenuhnya tetapi wujud perjuangan baharu iaitu pembaharuan institusi dalam kerajaan sebagai mana yang diperjuangkan sejak 25 tahun lalu.


Hal itu dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah ketika merasmikan Majlis Makan Malam KEADILAN Wilayah Persekutuan 2025, malam tadi di Wisma KTC, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.


"Perjuangan reformasi tidak berakhir dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Malah, tanggungjawab kita semakin besar dalam memastikan agenda reformasi terus direalisasikan.


"Kita kini berada dalam fasa baharu perjuangan, melaksanakan pembaharuan institusi, memastikan tadbir urus yang cekap dan berintegriti, serta mengangkat martabat rakyat Malaysia secara keseluruhannya," kata Dr Wan Azizah.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, KEADILAN tidak akan berganjak dari matlamat asal penubuhannya iaitu memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan bagi seluruh rakyat, sesuai dengan semangat serta falsafah yang terkandung dalam nama parti KEADILAN itu sendiri.


Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut menghargai para pejuang reformis dan ahli parti yang berjasa besar di Bandar Tun Razak yang bersama sama dalam jatuh bangun parti di kawasan itu dan seluruh negara.


"Malam ini saya melihat ramai wajah yang saya kenali, dari rakan seperjuangan yang telah bersama sejak era Reformasi 1998, hingga kepada generasi baru yang meneruskan obor perjuangan ini. Kita telah menyaksikan sendiri jatuh bangunnya parti ini.


"Kita telah melalui pelbagai cabaran, dari jalanan ke pentas politik arus perdana, dari demonstrasi jalanan ke tampuk kepimpinan negara di Putrajaya.


"Hari ini, Parti KEADILAN Rakyat berdiri sebagai parti tunjang dalam menerajui kerajaan, satu pencapaian yang hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan, ketabahan, dan keikhlasan semua yang berada di sini," katanya lagi.


Justeru Dr Wan Azizah berharap agar KEADILAN lebih kuat pada masa hadapan dan mengucapkan syabas kepada anggota yang merancang dengan rapi persiapan majlis berkenaan.

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page