Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk melaksanakan Undi 18 sebagaimana dijanjikan sebelum ini, selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, sekiranya kerajaan terus berdegil dan menafikan hak pengundi berusia 18 tahun yang telah diluluskan Parlimen sejak 2019 lalu maka pilihan terakhir yang mungkin diambil adalah 'turun' ke jalan raya.
"Lantas kita hari ini di persimpangan, mahu melawan pandemik dengan SOP #duadarjat yang terus merundung malang sebahagian besar rakyat atau berjuang semahunya membela hak demokrasi yang dirampas?
"Jawapan saya, kita harus bersatu dan gerak bersama-sama. Punca kedua-duanya ini adalah sebuah kerajaan #PNipu dan mementingkan diri.
"Maka gerakan untuk merangkul semua gerakan sivil dan pemegang taruh harus digerakkan sekarang. Jika akhirnya pilihan yang ada hanyalah ‘Bersih 6’, dengan kepatuhan SOP yang ketat, kita yakin ribuan rakyat Malaysia akan kembali ke jalan raya," kata Shazni dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu lagi, kerajaan PN tidak sepatutnya terus memperlekehkan kematangan dan kewibawaan anak-anak muda dalam memilih kerajaan sedangkan dalam usia 18 mereka telah dianggap dewasa dari segi undang-undang.
Dalam masa sama, beliau juga memuji tindakan 18 anak muda yang berani memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia susulan penangguhan pelaksanaan #Undi18.
"Mereka yang mewakili Gerakan Undi 18 telah menuntut dua deklarasi iaitu tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak sah, serta pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.
"Dengan gerak kerja yang terpaksa dilakukan kumpulan anak muda ini semata-mata menuntut kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disokong Pas dan Umno bertanggungjawab untuk memberikan hak yang dirampas daripada mereka, jelas memberikan gambaran bahawa kerajaan hari ini sedang memperlekehkan kematangan dan kewibawaan yang dimiliki oleh anak muda.
"Akal budi mereka telah bonsai akibat kecanduan kuasa dan kemabukan untuk mengekalkan kuasa," katanya lagi.
Pada 27 Mac lalu, satu himpunan untuk menuntut kerajaan melaksanakan Undi 18 telah diadakan di perkarangan bangunan Parlimen susulan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang menangguhkan pelaksanaan had kelayakan umur mengundi 18 tahun.
Himpunan aman yang dianjurkan Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 itu disertai lebih 200 anak muda yang kebanyakannya terdiri daripada aktivis badan bukan kerajaan (NGO).
Comments