'Terkesan khutbah Jumaat di London, PMX bebas pada era Pak Lah'
- Suara Keadilan
- 23 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika hayatnya telah menunjukkan teladan politik yang baik dan patut dicontohi semua pihak termasuk ahli politik di negara ini.
Menerusi satu muat naik di Facebooknya hari ini, Ahli Dewan Negara itu menyingkap kembali peristiwa istimewa ketika dirinya menziarahi Imam Dr SM Qayyum di East London Mosque, United Kingdom pada Ogos tahun lalu.
Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya turut singgah dan menyampaikan tausiyah di masjid sama pada Januari tahun ini.
"Imam Qayyum menceritakan pada 2004, beliau mendapat tahu bahawa Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan datang melawat East London Mosque dan solat Jumaat di situ

"Pada waktu itu, Imam Qayyum bertugas sebagai khatib dan pada masa sama, beliau terkenangkan PMX yang masih dalam penjara dan sedang dalam proses mendengar Rayuan di Mahkamah.
"Beliau mengenang PMX sebagai tokoh pemimpin Muslim yang bukan saja sangat berjasa kepada Malaysia, malah punya sumbangan signifikan kepada dunia Islam keseluruhannya.
"Akhirnya, Imam Qayyum membuat keputusan untuk menyampaikan khutbah Jumaat khas di hadapan Pak Lah mengenai konsep keadilan dalam al-Quran dan perlaksanaannya," katanya sambil menambah Imam Qayyum pernah berkhidmat di UIAM Gombak dan antara tokoh sangat dihormati di United Kingdom.
Menceritakan lebih lanjut, Dr Zulkifli berkata, Imam Qayyum menyampaikan khutbah pada waktu itu dengan sepenuh keikhlasan sambil berdoa semoga isinya menyentuh hati jemaah, khususnya Pak Lah.
Imam Qayyum juga menyelitkan beberapa contoh kisah dalam al-Quran tentang keadilan.

Selepas solat Jumaat, ujar Dr Zulkifli, Imam Qayyum sempat bertemu dengan Pak Lah dan Pak Lah mengucapkan terima kasih atas khutbah yang mengesankan itu.
"Setelah beberapa bulan, Imam Qayyum memaklumkan bahawa beliau mendapat tahu yang PMX telah dibebaskan, dan PMX dapat menjalani pembedahan di luar negara.
"Imam Qayyum menyatakan pada saya, bahawa barangkali usaha kecil beliau menyampaikan khutbah di hadapan pemimpin yang baik seperti Pak Lah, serba sedikit dapat membuka pintu hati untuk terus melakukan kebaikan dan keadilan.
"Seperti mana yang diungkap PMX, "..sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas."
"Allahu akbar, terbayang wajah ceria dan tenang Pak Lah yang budiman. Kita semua mengakui kebaikan Almarhum Pak Lah sebagai seorang negarawan ulung yang disenangi kawan dan lawan," ujarnya lagi.
Comentarios