
Umat Islam yang menjalani ibadah puasa dinasihatan supaya meneruskan latihan Ramadan dalam melaksanakan ibadah serta berintegriti pada kehidupan seharian juga dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada guna seseorang bersungguh sungguh menjalani puasa Ramadan tetapi integriti diabaikan sehingga memberi kesan tidak baik kepada persekitarannya.
"Disiplin yang tinggi bakal membentuk peribadi seseorang individu termasuk para pemimpin yang perlu berkhidmat kepada rakyat tanpa jemu demi kebajikan dan masa depan mereka.
"Apa gunanya kalau kita semua bersungguh-sungguh menjalani ibadah dalam bulan Ramadan tetapi elemen dan aspek integriti diabaikan hingga membawa kesan negatif kepada sesebuah organisasi, pentadbiran, sosiobudaya dan juga imej negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam muat naik di Facebook usai Majlis Berbuka Puasa Madani di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam semalam. Majlis itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan kepimpinan negeri.
Manakala Amirudin dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri memantau status miskin tegar setiap enam bulan bagi memastikan rakyat dalam kategori berkenaan mendapat bantuan.
"Saya maklumkan kepada perdana menteri tadi. Seawal Julai, Ogos tahun lalu kita dah hapuskan miskin tegar. Kita tidak selesa setakat itu.
"Setiap enam bulan kita tengok balik ada tak (keluarga) yang jatuh balik (miskin tegar). Kalau jatuh, negeri, Lembaga Zakat Selangor, Sumbangan Tunai Rahmah akan disalurkan ke bawah.
"Ini semua usaha berterusan yang dilakukan melibatkan persekutuan, kabinet dan barisan negeri," kata dipetik Selangorkini.
Comments