![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_3a7faa846abd43ba9bac198dc3e941fc~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_453,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_3a7faa846abd43ba9bac198dc3e941fc~mv2.jpg)
Usaha penjajahan terbaharu Amerika Syarikat (AS) di Palestin dengan cadangan mengusir paksa penduduk Gaza semestinya ditentang oleh setiap warga Malaysia dan dunia.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata bahawa sejak bermulanya perang Hamas-Israel pada Oktober 2023 rakyat Malaysia telah melihat kecekalan penduduk Gaza dalam mengharungi peperangan itu dengan hebatnya.
Namun usaha terbaharu AS mahu mengosongkan wilayah tersebut selepas gencatan senjata merupakan satu lagi bentuk ujian yang bukan sahaja tertimpa di atas pundak penduduk Gaza tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang menyokong mereka.
"Ini juga ujian kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia yang lain untuk terus menyatakan bahawa kita menentang sebarang penjajahan terbaru oleh Amerika Syarikat," katanya dalam ucapan pada "Perhimpunan Bantah Pelan Trump Ambil Alih Gaza" petang tadi berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Oleh itu, kata Ahmad Fahmi, rakyat Malaysia keseluruhannya wajib menolak penjajahan bentuk baharu yang akan dilakukan AS selepas sekutunya Israel menghancur leburkan insfrastruktur di Gaza.
"Kita tidak setuju sebarang usaha untuk menjajah bumi Palestin," katanya sambil melaungkan slogan "Dari sungai ke segara, Palestin wajib merdeka" .
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur), Shahbudin Embun pula berkata, usaha membangunkan semula Gaza oleh AS dengan menghalau keluar rakyat Palestin adalah mengarut dan perlu ditentang sekeras kerasnya.
![Shanbudin Embun mengajak seluruh rakyat Malaysia menentang idea gila Presiden Trump jajah Palestin](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_71b3af5ed57042c9bda7fc2274a03118~mv2.jpg/v1/fill/w_760,h_447,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_71b3af5ed57042c9bda7fc2274a03118~mv2.jpg)
"Kita muslim dalam negara ini dan dunia mesti berjuang untuk kebebasan mutlak rakyat Palestin. Kita tidak berkompromi dengan (Presiden) Trump, dengan sesiapa pun kecuali rakyat Palestin mesti kembali ke tanah air mereka dengan kebebasan mutlak.
"Tiada jalan (damai) sebagaimana dituntut oleh Trump semua rakyat di Gaza perlu keluar, ini mengarut. Mereka mahu menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka.
"Kita akan mempertahankan rakyat Palestin. Kita tahu kesensaraan mereka. Mereka menderita sejak 70 tahun lalu," katanya.
Tegas beliau, gencatan senjata yang diusahakan oleh AS sebelum ini konon mengelakkan pertumpahan darah berlanjutan adalah hipokrit kerana hal yang lebih besar akan berlaku dengan idea gila pengusiran rakyat Palestin.
Bình luận