Oleh: Abdullah Zaid
Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) hadir ke Program Temu Mesra Masyarakat Orang Asli di Kuala Lah, malam tadi.
Bertempat di pentas utama, majlis itu turut diadakan serentak dengan Program Jalinan Kasih Merdeka sebagai acara selingan pada program berkenaan.
Tengku Razaleigh yang berbaju kemeja berwarna putih itu disambut Pengerusi TEKUN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Pada majlis itu, bekas Ahli Parlimen Gua Musang 12 penggal berkenaan turut menyaksikan beberapa persembahan hiburan oleh band Tekun, selain menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian penutup program berkenaan.
Terdahulu, veteran UMNO itu hadir menyantuni jentera Perpaduan di Jeram Tekoh.
Dalam ucapannya, Ku Li menyeru penduduk Nenggiri memilih calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai wakil rakyat baharu.
Jelasnya, Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu dilihat mempunyai pengalaman luas dari segi cara untuk berkhidmat dengan baik sebagai wakil rakyat.
"Jadi tiada perkara baru atau asing bagi dia. Kalau Awie (Mohd Azmawi Fikri) dipilih, saya berani janji dia akan menjadi seorang wakil rakyat yang baik dan boleh berkhidmat untuk rakyat.
"Setahu saya, dia orang yang boleh diharap dan dia bukan sahaja Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, tetapi juga sudah dinaikkan status menjadi Ketua Pemuda Negeri dan potensi dia pun bagus," katanya dipetik.
Turut hadir ke program berkenaan, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.
Untuk rekod, Ku Li yang menjadi Ahli Parlimen Gua Musang untuk selama 60 tahun mempunyai pengaruh luas dalam kalangan pengundi di sana. Kehadiran Ku Li pada saat akhir kempen dijangka membantu pengundi atas pagar membuat keputusan menjelang hari membuang undi pada 17 Ogos ini.
Comments