![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_ff472d4d51d646168ce46a03aee31dc3~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_446,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_ff472d4d51d646168ce46a03aee31dc3~mv2.jpg)
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional terus komited memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani memaklumkan TEKUN memperuntukkan RM1 bilion pada tahun ini untuk memastikan tiada usahawan tempatan yang tercicir daripada bantuan, sekali gus membantu mengubah taraf hidup golongan itu.
"Sekiranya tidak mencukupi saya akan tambahkan lagi RM500 juta untuk memastikan anak bangsa saya tidak akan tercicir dan dapat disambut untuk mereka dibantu.
"Inilah antara langkah yang saya ambil dan pastikan apabila saudara sudah pinjam, bayarlah semula," katanya dipetik pada Majlis Taklimat Pembiayaan Tekun Nasional di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di Kuala Lumpur pada Ahad.
Pada majlis itu seramai 300 penduduk setempat hadir mendengar taklimat dan penerangan berhubung beberapa skim pembiayaan ditawarkan TEKUN Nasional.
Selain itu, Yayasan Bank Rakyat menyumbangkan wang tunai 'Kembali ke Sekolah' kepada 100 murid serta kotak Rahmah MADANI berisi barangan keperluan kepada 100 asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan parlimen itu.
Sementara itu menurut Abdullah, sejak penubuhan TEKUN Nasional pada 1998 hampir 600,000 usahawan dibantu sehingga ada antara peminjam kini berstatus jutawan.
"Dengan cara kekuatan ekonomilah kita boleh mengubah nasib bangsa kita dan inilah idea Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim (yang mencetuskan penubuhan TEKUN) ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu," katanya.
Comments