top of page

Teksi NGV tamat penggunaan Julai 2025, kos perbaharui tangki mahal



Penjualan runcit gas asli kenderaan (NGV) akan dihentikan sepenuhnya bermula 1 Julai tahun depan bagi tujuan keselamatan pengguna dan orang ramai, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Selaras dengan keputusan tersebut, kerajaan akan memberikan insentif kepada pemilik NGV berdaftar melalui program bantuan peralihan kenderaan NGV.


Katanya, pemandu teksi NGV akan menerima e-baucar RM3,000 menerusi aplikasi Setel sehingga 31 Disember ini.


"Bagi memastikan peralihan yang lancar, kerajaan turut memberikan program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV kepada pengguna yang layak.


"Semua keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 2024 berkaitan dengan hala tuju penggunaan bahan api gas asli mampat atau NGV bagi kenderaan motor di Malaysia," katanya ketika sidang media khas NGV di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.


Loke berkata, pemilik kenderaan dwi bahan api pula akan diberikan pakej untuk menanggalkan peralatan NGV secara percuma dengan tarikh tutupnya pada 30 April 2025 manakala pemilik kenderaan NGV tunggal ditawarkan pembayaran sekali bayar dengan permohonan boleh dibuat melalui laman web www.peralihanngv.com.


Beliau menjelaskan kenderaan motor yang menggunakan bahan api NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan di atas jalan raya selain Petronas yang menjadi pembekal tunggal NGV juga akan menamatkan bekalan runcit bahan api itu secara berperingkat.


Loke berkata, keputusan terbabit diambil berdasarkan kepada asas pertimbangan keselamatan kepada pengguna terutamanya pemilik kenderaan yang menggunakan NGV.


Beliau berkata, berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 sehingga 2014.


Tempoh tersebut memberi petunjuk bahawa keseluruhan kenderaan yang terbabit kini berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti, ujarnya.


"Tangki NGV mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat.


"Terdapat segelintir pengguna mengubah suai kenderaan dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG) yang berbahaya dan mendatangkan risiko kemalangan dan letupan," katanya.


Loke berkata proses penggantian menggunakan komponen-komponen tulen NGV pula akan memakan kos yang tinggi sehingga boleh melebihi RM7,000 bagi sebuah kenderaan.


"Menyukarkan lagi keadaan, alat ganti NGV terutamanya tangki tulen sama ada sudah tiada lagi atau sukar diperoleh di pasaran tempatan.


"Melalui pemerhatian dan maklum balas yang diterima, terdapat pemilik kenderaan yang menggunakan alat ganti daripada tangki yang digunakan atau pengubahsuaian tidak diiktiraf, termasuk menggunakan tangki gas LPG yang akhirnya mendatangkan risiko keselamatan, kecederaan atau kematian kepada semua pengguna atau pemilik kenderaan terbabit," katanya.


Dalam pada itu, data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan lebih 95% kenderaan NGV berdaftar adalah kenderaan menggunakan petrol yang diubah suai dengan kit/komponen bagi NGV (dual-fuel) manakala kategori kedua adalah kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja (monofuel).


Daripada dua kumpulan kenderaan tersebut, terdapat kira-kira 44,383 kenderaan aktif berdaftar dengan NGV di dalam rekod JPJ bagi tempoh tiga tahun iaitu 9,509 teksi dan kereta sewa pandu, kenderaan pendaftaran persendirian (32,137), bas dan lori (2,150) dan 587 unit kenderaan/jentera.


Berdasarkan kepada data tersebut, jumlah kenderaan motor yang dijana menggunakan NGV adalah amat kecil berbanding keseluruhan kenderaan motor berdaftar di Malaysia iaitu 0.2 peratus.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page