Kementerian Pertanian menggalakkan pesawah menggunakan teknologi dron, jentera tanaman serta varieti benih baharu bagi meningkatkan hasil sekali gus dapat meningkatkan hasil pendapatan dan mengurangkan import beras.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelbagai inisiatif yang meliputi pelan jangka pendek, sederhana dan jangka masa panjang juga dilaksanakan bagi memastikan produktiviti hasil padi yang stabil.
"Antara usaha yang dilaksanakan adalah melalui peningkatan produktiviti hasil padi iaitu menggalakkan penggunaan teknologi dan menambah baik pengurusan penanaman secara sistematik.
"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggalakkan penggunaan teknologi pertanian seperti dron dan jentanam untuk meningkatkan hasil padi melalui program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan yang telah mencatatkan peningkatan purata hasil padi sehingga 10.45 tan metrik per hektar sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah dan mengurangkan bebanan kepada kos penanaman padi yang ditanggung mereka," menurut jawapan lisan kepada soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang disiarkan di laman web Parlimen.
Mohamad berkata setakat Januari hingga September lalu, Malaysia telah mengimport sejumlah 1.35 juta tan metrik dari 11 buah negara dengan Thailand merupakan negara tertinggi diikuti Vietnam, Pakistan dan India.
Jelasnya negara ini turut mengimport sumber makanan ruji itu dari Kemboja, Taiwan, Korea, Jepun, Indonesia, Myanmar dan Sepanyol.
"Sehingga September lalu, sebanyak 1,358,718 tan metrik beras telah diimport ke dalam negara dengan pecahan mengikut negara iaitu Thailand (178,056), Vietnam (549,824), Pakistan (349,832), India (229,451), Kemboja (38,397), Taiwan (170), Korea (250), Jepun (142), Indonesia (13), Myanmar (12,575) dan Sepanyol (8)," katanya.
Kata beliau KPKM menggalakkan para pesawah mengguna pakai varieti padi baharu hasil daripada proses penyelidikan dan pembangunan yang berterusan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
"Pada tahun 2024, MARDI telah memperkenalkan dua varieti padi spesialiti baharu berkualiti tinggi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah di negara ini iaitu varieti padi wangi tempatan MRQ 107 dan MRQ 111 yang mampu menjana hasil tuaian melebihi lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik.
"Kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan yang baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai, lebih berdaya tahan, lebih rintang penyakit dan lebih berhasil tinggi," katanya.
Tambah beliau penggunaan varieti padi baharu ini dijangka dapat membantu para pesawah dalam menghadapi pelbagai isu seperti serangan penyakit dan makhluk perosak, bencana alam dan sebagainya.
"Pelbagai kaedah latihan berterusan yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian juga disediakan bagi membantu pesawah melaksanakan intervensi segera jika sebarang musibah berlaku.
"Melalui pelaksanaan program-program peningkatan hasil padi seumpama ini, kementerian menjangkakan para pesawah di seluruh negara akan dapat meningkatkan pendapatan mereka sehingga 50 peratus semusim," katanya lagi.
Comments