Oleh: Akmal Manaf
Malaysia mengaplikasikan beberapa kaedah dalam pengurusan bencana, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi mengatasi masalah banjir.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, untuk teknologi AI dan data raya, ianya sudah terangkum dalam sistem yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, sistem tersebut adalah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 3.
''Melalui sistem ini, kita mengharapkan data-data yang terkumpul sama ada daripada telemeteri dan meteorologi.
''Kemudian data itu akan diakses melalui komputer dan kita akan dapat membuat ramalan awal di mana dan bila akan berlaku banjir.
''Ia akan dikongsi bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan banjir dan boleh dikongsikan dengan masyarakat umum,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika sesi Pertanyaan Menteri-Menteri.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkaitan persediaan kerajaan dalam mengaplikasikan teknologi AI bagi mengatasi masalah banjir dan apakah bentuk mitigasi yang lebih jitu dan mampan daripada kerajaan dalam mengurangkan risiko kesan daripada bencana banjir.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri II menambah, kerajaan turut membangunkan Integrated Forecast Operation System (IFOS) yang menggunakan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 dan Internet of Things (IoT) bagi meramal kejadian banjir dengan lebih awal.
''Ia merupakan portal untuk orang ramai mengetahui mengenai info banjir.
''Maknanya, masyarakat boleh mendapat maklumat di mana diramal berlaku banjir, berapa ketinggian paras air dan sebagainya.
''Program tersebut sudah dilaksanakan pada tahun ini dan sistem berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2030,'' ujarnya lagi.
Comments