Tebatan banjir RM66 juta atasi masalah banjir di Sentosa, Klang
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memperuntukkan sebanyak RM66 juta bagi pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan Bandar Sentosa.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George pada sidang media yang diadakan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pada minggu hadapan, Jabatan Kejuruteraan melalui MBDK akan mengumumkan mengenai tender dan projek tersebut akan disegerakan memandangkan kawasan tersebut telah mengalami banjir sejak bertahun tahun lalu.
''Semalam saya telah hubungi Pengarah Jabatan Kejuruteraan (di MBDK) agar mempercepatkan (kerja-kerja penebatan banjir). Saya telah minta jabatan agar mempercepatkan dan beliau berjanji akan memulakan kerja secepat mungkin.
''Pihak MBDK juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan kelulusan, seterusnya melantik kontraktor untuk memulakan kerja,'' katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Gunaraj berkata, pihaknya menerima reaksi daripada beberapa orang penduduk menyatakan bahawa banjir yang berlaku sekarang tidaklah seteruk dahulu.
Hal itu, katanya, longkang telah diperbaiki dan penduduk setempat bekerjasama untuk tidak membuang sampah di saliran air.
''Dulu banjir sampai ke paras lutut.. sekarang hanya sampai di buku lali.. mereka kata ada perubahan.
''Saya juga ingin maklumkan bahawa tindakan-tindakan telah diambil.. selalu kita salahkan penduduk seperti ada sampah dalam longkang.. itu dulu.. sekarang banyak perubahan.
''Penduduk pun telah banyak memberi kerjasama.. sampah itu memang ada, tapi tidak banyak,'' ujarnya lagi.
Sidang media tersebut turut dihadiri beberapa orang Ahli Majlis di kawasan Klang dan Subang Jaya yang bersempadan dengan DUN Sentosa.
Comentários