Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) dinasihatkan berfikir panjang mengenai calon terbaik yang perlu mereka pilih pada 11 Mei ini.
Menteri Besar Selangor (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tawaran yang dikemukakan oleh calon Pakatan Harapan (PH) Kuala Kubu Bharu seharusnya dihitung dengan cermat oleh para pengundi.
"Hari ini wakil kita datang dengan satu tawaran. Tawaran dia (calon) jelas, nak bangunkan ekonomi, nak beri peluang pekerjaan, nak pulihkan masalah kemiskinan. Jaga kebajikan," katanya.
Di samping itu, menurut Amirudin, pengundi juga harus mengimbau kejayaan Kerajaan Negeri PH dalam menghadapi segala kesukaran ketika pandemik Covid 19 lalu.
Begitu juga selepasnya, apabila harga barang keperluan melambung pada penghujung era pemerintahan PN pada 2022.
"Harga barang adakah dapat dikawal? Berjaya dikawal.
"Dulu harga ikan, ayam tinggi sebab ayam dan ikan susah nak dicari. Kita hantar Mat Sabu (Menteri Pertanian), bukan Selangor saja ada telur (ayam), orang Malaysia ada telur sekarang
"Sebab itu Selangor buat JER sebab barang tak cukup. Kita belanja RM5 juta. 8 juta rakyat dapat manfaat. Harga telur kita kurangkan, harga ayam kita kurang. Itu tidak dibuat oleh pentadbiran sebelum ini," katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan di Jalan Meranti 1A, Bandar Baru Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan hujah Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali kononnya inflasi di Malaysia telah meningkat.
Katanya, inflasi 1.8% ikut data terkini. Sebaliknya pada era PN memerintah inflasi sekitar 3 - 4%.
Tambah beliau, pembangkang amat tidak konsisten dalam memulakan kempen di KKB dengan berkata akan berlaku pertukaran kerajaan sekiranya PN menang dalam PRK.
Begitu juga kononnya Kerajaan Negeri mengalami belanjawan defisit bertahun tahun sedangkan faktanya, kata Amirudin, Selangor adalah antara negeri yang mengalami surplus.
Selain itu, kata Amirudin, usaha Kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan kemiskinan tegar sebelum ini ditertawakan olah pembangkang. Namun hari ini katanya, kemiskinan tegar di Selangor telah berjaya dikurangkan sehingga 80%.
"PM ketika bentang belanjawan 2023 diketawakan oleh PN bila nak tutup masalah kemiskinan tegar. Mereka anggap ini tidak realistik. Dalam setahun Januari 2023 apa yang terhasil?
"Kita dapat kurangkan jumlah miskin tegar di Selangor dari lebih 8,000 orang, jumlah itu tinggal 860 orang. 88% miskin tegar telah berjaya kita hapuskan.
"Sudah pasti saya nak dapat angka sifar miskin tegar. Hulu Selangor tidak dapat capai lagi. Kita kaji dengan Bingkas, kita tambah kuota, bersama (bantuan) Pusat Zakat, inshaAllah menjelang Julai 2024, dengan kerjasama Kerajaan Pesekutuan miskin tegar kita akan tamatkan kisahnya di negeri bertuah ini," katanya lagi.
Commentaires