Tauliah mengajar calon PN: Pemuda AMANAH buat laporan polis
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Calon yang bertanding dalam sebarang pilihanraya di negara ini perlu telus termasuk membabitkan latar belakang berkaitan pendidikan diperolehi mereka.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Munzirie Kabir menegaskan, rakyat di negeri itu berhak untuk mengetahui kebenaran.
Beliau berkata, masyarakat juga wajib menolak mana-mana individu yang sanggup menipu demi kepentingan diri dan memperalatkan agama untuk meraih kuasa.
Tegas beliau, hal berkenaan bukan isu remeh, sebaliknya melibatkan maruah institusi agama, integriti pentadbiran negeri dan kedaulatan Raja Berperlembagaan.
''Tuanku Sultan Perak juga telah berkali-kali memberi peringatan dan amaran secara terbuka agar institusi agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik.
''Maka, cubaan untuk memanipulasi proses tauliah adalah satu bentuk penderhakaan terhadap titah dan amanah yang telah diperkenankan Tuanku.
''Tindakan ini juga berkemungkinan melibatkan pemalsuan maklumat atau dokumen rasmi, yang merupakan satu kesalahan jenayah serius,'' katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pemuda AMANAH Perak membuat satu laporan polis terhadap calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning susulan dakwaan penipuan untuk memperoleh tauliah mengajar.
Ahmad Munzirie berkata, calon tersebut dipercayai memperoleh tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Negeri Perak walaupun tidak layak kerana memegang jawatan politik dan kini bertanding dalam pilihanraya.
Beliau menegaskan, ia bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada, malah mengingkari titah Sultan Perak, selaku Ketua Agama Islam Negeri.
Justeru katanya, laporan itu dibuat agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tanpa kompromi, demi menjunjung semula keluhuran undang-undang serta titah Raja Pemerintah.
Comments