Tauliah mengajar agama calon PN tidak sah? - AMANAH Perak
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

AMANAH Perak menggesa pihak berkuasa agama negeri itu menyiasat dakwaan bahawa calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning memiliki tauliah mengajar agama yang meragukan.
Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, adalah sesuatu yang tidak sewajarnya apabila seorang calon PRK mempunyai tauliah mengajar yang diragukan dan tidak mahu pula memberi komen apabila pertanyaan berkaitan hal itu diajukan kepadanya.
"AMANAH Perak menegaskan bahawa perbuatan didakwa ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, serta mencemar kedaulatan Raja Berperlembagaan.
"Ia memperlihatkan sifat tidak jujur dan oportunis yang tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat.
"Kami menyeru agar pihak berkuasa agama menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi. Rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Asmuni, dakwaan itu sekiranya benar merupakan sesuatu yang amat serius melibatkan moral calon tersebut, apatah lagi beliau digelar ustaz.
Katanya, di negeri Perak, tauliah mengajar agama Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak, melalui Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.
Permohonan tauliah tertakluk kepada proses ketat termasuk ujian bertulis, temu duga, dan tapisan latar belakang. Kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, selaku Ketua Agama Islam Negeri.
Sehubungan itu, katanya, sebarang cubaan menipu dalam permohonan tauliah bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama, malah merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja serta derhaka kepada titah Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.
"Peraturan semasa juga dengan jelas menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam pilihanraya tidak layak diberikan tauliah mengajar," katanya.
Tegas Asmuni, semua pihak perlu patuh kepada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak yang sebelum ini telah menegur secara terbuka usaha menyalahgunakan institusi agama dan tempat ibadah bagi kepentingan politik kepartian.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru. BN menurunkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon.
Manakala PN menurunkan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek dan PSM pula mempertaruhkan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS menggalas cabaran parti itu.
Comentários