Penarikan kawalan harga ke atas ayam bulat dan telur serta minyak masak botol mulai 1 Julai ini serta pengumuman tambahan RM100 Bantuan Keluarga Malaysia bersifat 'gula gula' yang diumumkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan mengubah penderitan hidup rakyat marhaen.
Senator Dewan Negara, Fadhlina Sidek berkata, kesan kenaikan harga akibat produk dari ayam dan telur yang tiada lagi harga siling akan lebih parah daripada nilai tambahan bantuan RM100.
"Saya mengikuti polemik isu kenaikan harga barang dan pengumuman kerajaan berkaitan penarikan subsidi terkait dengan keperluan asasi rakyat.
"Setakat pengumuman oleh PM Malaysia, tiada apa yang progresif dan benar-benar menyelesaikan isu penderitaan rakyat melainkan tawaran yang masih bersifat “gula-gula” yang manisnya sekadar untuk membuatkan rakyat melupakan isu sebenar buat seketika.
"Hakikatnya, peningkatan kos sara hidup dan penyelarasan subsidi ini telah berlangsung sekian lama, berbaur antara derita jerih payah rakyat menempuh kehidupan sukar setiap hari dengan aksi pemimpin negara yang gemar membuat adegan drama yang melelahkan rakyat.
"Hari ini kerajaan umum penarikan subsidi, esok muncul sebagai hero umum insentif baru untuk rakyat. Semua drama ini ditonjolkan sebenarnya untuk menutup sisi tidak kompeten kerajaan yang semakin bejat mengurus tata kelola negara," kata Fadhlina dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, isu penarikan subsidi dan peningkatan harga barang serta kos sara hidup ini telah memberikan kesan langsung kepada komuniti miskin dan fakir serta kanak-kanak sejak sekian lama.
Kesan kemiskinan, kata Fadhlina menyebabkan mulnutrisi dan bantut di kalangan kanak-kanak sangat serius. Iaitu 1:5 di kalangan kanak-kanak didapati di bawah kategori bantut.
Manakala isu malnutrisi juga semakin meningkat apatah lagi dengan impak pandemik serta kenaikan harga barangan yang memberikan kesan langsung kepada “hidangan” yang akan disediakan oleh setiap keluarga miskin dari dapur masing-masing.
"Impak kenaikan barang dan penarikan subsidi ini telah memperlihatkan kesan yang menghimpit sekumpulan golongan rentan dalam masyarakat, khususnya kanak-kanak yang terlibat dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
"Saya cukup bimbang sekiranya impak kenaikan harga serta penarikan subsidi akan memberikan kesan kepada kos pengusaha kantin sekolah dan akhirnya program RMT tidak dapat diteruskan untuk membela kanak-kanak miskin yang berhadapan dengan isu malnutrisi," katanya.
Bagi Fadhlina, kebejatan mekanisme kerajaan mengurus dan menangani isu kos sara hidup dan penarikan subsidi memperlihatkan kegagalan total pemerintah.
Oleh itu, beliau tidka terkejut sekiranya pilihan yang tersisa di pihak rakyat adalah melakukan demonstrasi jalanan bagi mendesak penurunan harga barang.
"Kerajaan seolah-olah hilang kawalan, tidak kompeten dan sangat lemah menyelesaikan isu yang menjerut kehidupan rakyat saban hari.
"Jadi apa pilihan yang kita ada? Mobilisasi rakyat dan lawan," katanya lagi.
Comentarios