
Perjuangan reformasi tidak seharusnya berakhir selepas Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rozana Zainal Abidin, perjuangan reformasi terutama Otai Reformis perlu diperkemaskan dengan mengajak anak anak para pejuang meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh ibu dan bapa mereka.
"Kita hari ini mengecapi Datuk Seri Anwar dapat jadi PM. Maka terwujud juga O.T.A.I ini atau Original Team Anwar Ibrahim
"Bukan nak membodek tetapi inilah yang ada di hadapan saya yang berjuang sejak 1998, diberi kesihatan yang baik, masih ada di sini bagi meneruskan perjuangan Datuk Seri Anwar.
"Hari ini kita kena create more people bersama dengan kita. Contohnya ada anak anak pastikan bersama KEADILAN. Sebab hari ini PM kita datang dari parti KEADILAN," katanya dalam majlis yang diadakan di dewan Padang Awam Kampung Setia, Kuang baru baru ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Shaiful Annuar Sulaiman turut senada dalam hal meneruskan perjuangan reformis.

Katanya, generasi muda seharusnya bersama pertubuhan reformis sedia ada untuk menjadi benteng keutuhan parti KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam meneruskan perjalanan mengemudi negara.
"Kalau boleh reformis ini kena teruskan perjuangan bukan untuk kita tetapi untuk generasi yang akan datang, anak anak kita. Banyak usaha yang kita buat di bawah pertubuhan PKORM.
"Jadi kita berharap tiap tiap reformis dapat mendaftar anak anak. Kita tidak macam UMNO, kalau bapanya UMNO, semua anak ahli UMNO," kata beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengerusi PKORM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, Pengerusi PKORM Parlimen Selayang, Shaharuddin Abu Bakar.
Sebanyak 25 anggota PKORM dalam majlis itu menerima kotak makanan dan sumbangan wang tunai dan sijil keahlian daripada PKORM.
Comentarios