Tarif: Malaysia akan rangkul semua pandangan negara ASEAN
- Suara Keadilan
- Apr 9
- 1 min read

Malaysia akan bersama sama negara ASEAN sebagai satu kesatuan utuh dalam menghadapi tarif timbal balik yang dikenakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke atas lebih 150 negara termasuk rantau Asia Tenggara.
Menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, mesyuarat Menteri Menteri Kewangan ASEAN esok penting untuk merumuskan tindakan susulan yang akan diambil bersama berhubung perang dagang berkenaan.
"Pada ini Isnin ini National Geoeconomic Command Centre (NGCC) kerajaan akan bersidang, dan hasil daripada mesyuarat esok menteri perdagangan ASEAN dan juga perbincangan PM dengan ketua ketua kerajaan ASEAN pada Isnin, kita akan buat keputusan sebelum kita meminta rombongan bagi tujuan diplomasi dan juga perbincangan perdagangan dengan AS, dihantar ke Washington DC.
"Tarikh tepat tidak dapat diberi tetapi akan tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri hasil daripada mesyuarat esok dan Isnin," katanya dalam sidang media petang tadi di Putrajaya.
Menurut Fahmi, kerajaan Malaysia akan mengambil semua pandangan negara ASEAN dan merumuskannya sebagai ketetapan bersama menghadapi kesan tarif AS.
"Ini adalah langkah pro aktif pihak kerajaan, juga kerajaan Malaysia dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN mengembleng, merangkul semua isu, pandangan negara ASEAN.
"Kita berhasrat mengadakan perbincangan itu sebaik mungkin," katanya lagi.
Pada 3 April lalu, AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.
Tarif baharu itu diumumkan Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada langkah memperbaiki ekonomi AS, terutama pasaran dalam negeri yang menghadapi lambakan produk murah dari seluruh dunia.
Comments