top of page

Tarif: Kerajaan kaji semua KDNK 4.5 - 5.5%, yakin pertumbuhan berterusan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 3 min read

Tengku Zafrul yakin pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berterusan. Foto FB Tengku Zafrul
Tengku Zafrul yakin pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berterusan. Foto FB Tengku Zafrul

Oleh: Helmi Mohd Foad


Kerajaan akan mengkaji semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus yang disasarkan bagi tahun ini susulan impak tarif timbal balas dikenakan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka meluas.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata semakan terhadap KDNK itu akan dibuat berdasarkan laporan penilaian impak yang lebih menyeluruh.


Bagaimanapun, jelas beliau buat masa ini, kerajaan menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan berterusan.


"Perbelanjaan isi rumah kita berdaya tahan, pelaburan domestik negara kukuh, hasil pelancongan kukuh dan pelan-pelan induk negara sedang dilaksanakan.


"Insya-Allah, asas ekonomi kita yang kukuh serta ketersediaan kerajaan akan membolehkan kita mengharungi cabaran ini dengan kekuatan," katanya pada sidang media mengenai tarif AS di Kuala Lumpur hari ini.


Tengku Zafrul berkata, kerajaan "perlu berterus terang" bahawa impak langsung daripada cabaran tarif itu adalah dari segi pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini dan mungkin bagi tahun-tahun akan datang.


Malah jelas beliau, kesan tersebut dijangka meluas kerana tarif juga dikenakan kepada hamper setiap rakan rakan dagang dan sumber pelaburan Malaysia.


"Sebagai salah satu rakan terbesar AS di ASEAN dan juga salah satu destinasi utama pelaburan asing dari AS, pelaksanaan tarif akan memberi kesan jangka pertengahan dan panjang," ujarnya.


Jelasnya, sekiranya lebih banyak negara melaksanakan tarif timbal balas, perang perdagangan di seluruh dunia bakal menggugat pertumbuhan ekonomi global.


Impak langsung yang negatif adalah dari segi pengurangan permintaan memandangkan jika ia berlaku, hasil akan berkurangan dan pekerjaan dalam sektor eksport akan terkesan, kata Tengku Zafrul.


"Kesemua faktor ini akan menyebabkan penurunan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Jika pelbagai negara menghadapi situasi yang sama, pertumbuhan global akan melembap.


"Penurunan permintaan dari AS akibat tarif timbal balas juga boleh mengakibatkan industri dan pasaran kita berdepan dengan lambakan barangan import dari negara lain yang mempunyai lebihan kapasiti. Ini akan meningkatkan persaingan dengan pengeluar-pengeluar tempatan," katanya.


Tengku Zafrul berkata, MITI akan menyemak semula sasaran pertumbuhan pelaburan diluluskan sebanyak lima peratus bagi tahun ini susulan pengenaan tarif timbal balik AS itu berikutan kesannya kepada KDNK negara.


Dari segi pelaburan yang diluluskan, maklum balas awal pelabur asing dan domestik, ada yang menyatakan masih terlalu awal untuk menilai impak kepada operasi masing-masing sehingga tarif dilaksanakan Rabu ini, jelasnya.


Menurut beliau beberapa pelabur berkongsi bahawa rantaian bekalan mereka akan terkesan terutama dari segi kontrak pembuatan selain terdapat pelabur Malaysia memperlahankan pelan pengembangan perniagaan masing-masing serta mula berjimat, sambil memfokus kepada perluasan pasaran di China, India dan ASEAN.


Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata impak tarif AS turut menyebabkan sesetengah eksport Malaysia akan lebih kompetitif dalam pasaran global berbanding beberapa negara yang dikenakan tarif lebih tinggi.


Beliau berkata, kadar 24 peratus boleh dianggap sederhana berbanding Kemboja (49 peratus), Indonesia (32 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (45 peratus), Thailand (37 peratus), Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus).


Katanya ramai penganalisis berpendapat langkah tarif timbal AS itu menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pengimport dan syarikat AS yang mencari input atau barangan perantaraan.


"Dari segi kesan penggantian, eksport minyak sawit Malaysia akan menjadi lebih kompetitif. Permintaan mungkin akan beralih ke Malaysia. Minyak sawit juga mungkin lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain," katanya.


Tengku Zafrul berkata buat masa ini, beberapa pengecualian melindungi sektor semikonduktor, kategori eksport terbesar Malaysia ke AS antara lain bahan mineral kritikal, farmaseutikal dan beberapa produk berkaitan tenaga.


"Tetapi banyak sektor lain akan terjejas seperti mesin dan peralatan, perabot, getah dan plastik," ujarnya.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page