top of page

Tarif: Dasar monetari tidak boleh selesaikan perang dagang - Gabenor BNM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 9
  • 2 min read


Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti langkah yang lebih luas selain hanya menumpukan kepada kadar faedah dalam berdepan kesan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS)


Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam wawancara bersama Bloomberg TV berkata negara ini memasuki pertikaian tarif dari kedudukan yang kukuh.


"Dasar monetari tidak boleh menyelesaikan perang perdagangan. Ia bukan alat terbaik untuk melakukannya," kata beliau yang dipetik laporan The Edge hari ini.


"Aktiviti pelaburan yang kukuh, permintaan domestik yang berdaya tahan dan rakan dagang yang pelbagai akan membantu menyokong ekonomi."


Tarif baharu Presiden Donald Trump termasuk cukai sebanyak 24 peratus ke atas eksport Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi dan mendorong para pedagang untuk menjangkakan kemungkinan pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam tempoh enam bulan, kata penganalisis.


BNM mengekalkan kadar dasar penanda aras pada 3% sejak Mei 2023 selepas satu kitaran pengetatan selama setahun namun dalam wawancara berasingan The Edge, Ketua Eksekutif Malayan Banking Bhd Datuk Khairussaleh Ramli dipetik sebagai berkata bahawa terdapat ruang untuk pemotongan kadar sebanyak 25 mata asas.


Abdul Rasheed berkata para penggubal dasar mempunyai pelbagai alat dasar untuk mengurangkan kesan daripada tarif AS yang menyeluruh itu.


"Apa yang penting bagi kami ialah matlamat dasar yang ingin dicapai. Kami mahu mencapai kestabilan harga yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara," katanya.


Jelas beliau lagi, bank pusat menjangkakan turun naik ringgit akan berterusan dan bersedia untuk mengekang sebarang pergerakan yang keterlaluan.


"Sebarang campur tangan terhadap mata wang akan dilakukan secara berhemah bagi memastikan pasaran kekal teratur," katanya.


Sebelum ini Kementerian Pelaburan Perdangangan dan Industri (MITI) berkata kerajaan akan menyemak unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini yang diletak pada kadar 4.5-5.5% selain giat menjalankan langkah untuk menangani kesan tarif termasuk mengadakan rundingan dengan AS.


Walaupun BNM sedang menyemak unjuran pertumbuhan itu, namun kata Rasheed, BNM tidak tergesa-gesa untuk mengubahnya kerana keadaan masih sangat tidak menentu.


Beliau menambah bahawa adalah lebih penting untuk kerajaan “menggandakan usaha” dalam melaksanakan reformasi struktur untuk terus mengukuhkan ekonomi dan memberikan sokongan jangka panjang kepada ringgit.


Sebelum ini, BNM dalam laporan ekonomi 2024 mengunjurkan inflasi keseluruhan dan teras masing-masing berpurata antara 2 hingga 3.5% dan 1.5 hingga 2.5% dengan trend menaik tapi terkawal.


Kesan inflasi daripada penyelarasan subsidi petrol RON95 dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka bersifat sementara dan dapat dibendung dengan baik, menurut laporan BNM.


Usaha untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan dana pelaburan untuk memulangkan pendapatan pelaburan luar negara dan menukarnya kepada mata wang tempatan akan diteruskan bagi menyokong ringgit, katanya lagi.


Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjumpa dan menghubungi ketua-ketua negara anggota ASEAN dalam usaha menyelaraskan pendirian pertubuhan serantau itu dalam menghadapi kesan tarif Trump.


Rantau Asia Tenggara berdepan kesan yang teruk ekoran tarif Trump dengan Malaysia berdepan tarif sebanyak 24%, Indonesia (32%), Vietnam (46%).


Singapura dan Filipina yang dikenali sebagai sekutu AS turut dikenakan tarif masing-masing pada kadar 10% dan 17%.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page