Tarif AS: Malaysia tidak kenakan tarif balas 47 peratus - Zafrul
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia tidak bercadang untuk mengenakan tarif balas susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif kepada 24peratus terhadap barangan import dari negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia sentiasa bersikap terbuka kepada perdagangan dan pelaburan.
Katanya, kerajaan juga komited ke atas kesemua rakan dagang utama termasuklah AS dan China.
''Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia.
''Malaysia langsung tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif ini dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan tersebut.
''Asas pengiraan kurang tepat ini telah mengakibatkan Malaysia dikenakan tarif timbal balas pada kadar 24 peratus,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas Tengku Zafrul lagi, Malaysia komited untuk mencapai solusi yang akan mengekalkan akses pasaran, menarik pelaburan asing yang berterusan dan menyokong kesejahteraan pekerja dan perniagaan Malaysia.
Oleh itu katanya, buat masa ini, Malaysia tidak akan mengambil sebarang tindakan timbal balas.
''Kerajaan MADANI berazam untuk mengatasi cabaran ini, dan MITI ingin menjemput semua sektor industri, dewan industri dan persatuan untuk bekerjasama dengan kami dalam mencari penyelesaian terbaik untuk negara,'' ujarnya lagi.
Pada 3 April lalu, AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.
Tarif baharu itu diumumkan Presiden AS, Donald Trump sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan global.
Menurut Trump, kadar tarif tinggi turut dikenakan terhadap beberapa negara lain yang berdagang dengan AS.
Comments