Tarif AS: Kerajaan boleh wujudkan kerjasama rentas parti
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran mengambil inisiatif menjemput pembangkang menyertai rundingan ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkukuh kerjasama rentas parti menghadapi cabaran ekonomi dan sosial semasa susulan pengenalan tarif eksport baru oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump.
Dr Wong Chin Huat, profesor dari Pusat Jeffrey Sachs bagi Kelestarian Pembangunan, Universiti Sunway berkata, cadangan MoU tersebut diharap merangkumi beberapa isu utama, termasuk penyertaan pembangkang dalam proses pembuatan keputusan berkaitan dasar ekonomi, penyediaan pakej perlindungan sosial dan pengukuhan kestabilan politik melalui mekanisme dua hala yang konstruktif.
Beliau merujuk langkah dilakukan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang mengadakan pertemuan dengan kesemua parti politik di negara matahari terbit itu pada 4 April lalu, termasuk parti-parti pembangkang bagi mendapatkan gambaran keseluruhan dan mengambil saranan bagi langkah ke hadapan susulan tarif yang dikenakan AS.
"Sebagai pemimpin negara, PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertanggungjawab menyiapsiagakan rakyat untuk menghadapi krisis besar ini dengan membawa semua pihak untuk mencari jalan keluar bersama," kata Dr Wong kepada Suara Keadilan.

Beliau turut mencadangkan lima perkara bagi kandungan persefahaman tersebut, iaitu Mekanisme pembuatan keputusan terhadap ekonomi yang melibatkan pembangkang di dalam dan luar Parlimen, ini boleh menjamin pembangkang tidak dapat membuat kecaman murahan kerana tidak terlibat; Akta Parlimen Berpenggal Tetap untuk Parlimen ke-15 bertahan sampai 18 Disember 2027 agar menteri, wakil rakyat dan parti politik dapat menfokuskan usaha dalam menghadapi cabaran bersama daripada mengatur plot untuk pilihanraya.
Juga mekanisme rentas-parti dan rentas-komuniti untuk berunding tentang isu-isu kaum, agama dan bahasa untuk mengurangkan episod perang budaya yang menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik; Pengkanunan peruntukan kawasan (CDF) yang saksama untuk semua wakil rakyat Persekutuan dan negeri; dan Mekanisme perundingan tentang desentralisasi yang melibatkan semua 13 Kerajaan Negeri dalam semangat merealisasikan Perjanjian Malaysia (MA63).
Kata Dr Wong lagi, kemelesetan ekonomi akibat kesan tarif berpotensi mewujudkan konflik sosial namun kerajaan berpeluang mewujudkan kestabilan berbanding menanggung kesan kemelut dan sengketa politik.
"Persaingan yang negatif perlu digencatkan. Ini tidak boleh berlaku tanpa pendamaian antara parti. Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan berunding dengan pembangkang pada Oktober 2020 dan terlewat bila beliau bersedia melakukannya pada Ogos 2021.
"Sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri berjaya merundingkan kestabilan politik dan pentadbiran berkesan untuk 13 bulan dengan menandatangani MoU dengan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujar Dr Wong lanjut.
Comments