Isu tapak rumah panjang baharu dan akses kepada jaringan komunikasi masih menjadi masalah utama membelenggu penduduk di pedalaman Sarawak.
Hal itu diungkapkan dalam lawatan Senator Abun Sui Anyit (gambar atas, kiri) ke rumah panjang Penan di Linau, iaitu Rumah Long Tanyit, Long Kajang dan Long Abit, baru baru ini.
"Isu yang dikemukakan oleh penduduk kepada saya di Long Kajang membabitkan kelulusan meratakan tapak rumah baru bagi 38 pintu yang masih di tangan Pengarah Hutan Sarawak
"Permohonan membina rumah baru di tapak itu ditimbulkan kerana rumah lama sering dilanda banjir
"Juga isu bantuan wang tunai bagi mangsa banjir yang belum ditunaikan walaupun sudah dua kali banjir di Long Kajang dan bantuan bencana banjir tersebut tidak pernah diberikan," kata Abun Sui dalam kenyataan.
Masalah di Long Tanyit pula, kata Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, lebih kepada kepadatan isi rumah.
Katanya, penghuni rumah panjang semakin ramai berkeluarga dan mencecah 70 keluarga. Situasinya kata beliau, seperti "sardin" dalam satu bilik.
"Mereka mahu berpindah ke tapak rumah baharu yang telah dikenal pasti, dan telah diratakan tetapi Kerajaan Sarawak belum memberi apa-apa respon terhadap permohonan mereka.
"Mereka mengharapkan permohonan disegerakan memandangkan masalah (tapak) rumah sekarang dalam bahaya kerana ada risiko (terjadinya) tanah runtuh menimpa rumah panjang mereka pada bila bila masa," katanya.
Manakala bagi Long Abit pula, kata Abun Sui, penduduk memerlukan bantuan membina rumah baharu yang telah mereka usahakan tetapi tidak dapat disiapkan kerana kesemua mereka dalam kalangan miskin tegar. Penduduk Long Abit juga memerlukan ketersambungan internet di kampung mereka.
"Justeru mereka meminta saya memohon StarLink bagi pihak mereka. Kita akan terus berhubung dengan Kementerian Komunikasi untuk mempertimbangkan permohonan ini.
"Secara keseluruhan penduduk tiga tempat ini perlu bantuan kerajaan untuk membebaskan mereka dariapda kepompong kemiskinan," katanya lagi.
Abun Sui juga amat berharap agar pihak Kerajaan dapat menyediakan pasaran bagi hasil pertanian sekiranya masyarakat Penan bergiat aktif dalam program-program kerajaan pada masa depan bagi mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan tegar.
Comments